Kuala Lumpur: Dalam masa empat tahun, jumlah penduduk Kuala Lumpur dianggarkan mencecah 10 juta orang berbanding hanya enam juta pada 2013.

Dalam situasi ini, penduduk bandar tentu memerlukan kemudahan dan perkhidmatan yang lebih baik serta kelestarian bagi mencerminkan “bandaraya bertaraf dunia.

“Ini mewujudkan keperluan untuk pembangunan mampan yang boleh menangani cabaran urbanisasi yang pesat.

Oleh kerana memahami keperluan untuk meningkatkan rangkaian rel di Lembah Klang, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM23 bilion untuk projek MRT Jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK) sepanjang 51 kilometer (km) dengan 31 stesen bermula dari Sungai Buloh dan berakhir di Kajang.

MRT Jajaran SBK, yang dibahagikan kepada dua fasa, berjalan mengikut jadual dengan Fasa 1 (Sungai Buloh ke Semantan) dijangka beroperasi menjelang 16 Disember, sementara laluan dari Sungai Buloh ke Kajang akan beroperasi sepenuhnya bermula 31 Julai, 2017.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Datuk Najmuddin Abdullah berkata dengan siapnya MRT Jajaran SBK, ia akan menjadi penanda bagi Kuala Lumpur mencapai sasaran untuk disenaraikan antara 20 bandar raya teratas selesa didiami menjelang tahun 2020.

Beliau berkata, jika dibandingkan dengan 20 bandaraya sekarang yang disenaraikan oleh Economist Intelligence Unit (EIU) tahun ini seperti Melbourne, Australia, Vienna, Austria, Vancouver, Kanada, Auckland, New Zealand dan Hamburg, Jerman, semua bandaraya tersebut mempunyai faktor yang sama iaitu perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien.

Menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Negara 2015 yang disediakan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang (GKL/KV) berhasrat untuk menjadi antara bandaraya utama ekonomi dan selesa didiami di dunia menjelang 2020.

“Jadi kenapa rel system yang baik amat penting untuk KL menjadi “liveable city?” Apabila kita sebut “liveable city”, ia bermakna bandaraya itu bagus untuk dijadikan tempat tinggal dan ia berkembang dari segi ekonominya.

“Oleh itu kita mesti memastikan mobiliti penduduknya berada di tahap yang baik dan untuk mempunyai mobiliti yang baik, maka sistem rel di bandar haruslah baik,” katanya.

Beliau berkata apabila mobiliti bandar mencapai tahap terbaik, ia akan meningkatkan produktiviti, sekali gus membolehkan bandaraya itu memberi rangsangan positif kepada ekonomi. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 9:13 AM