Abdul Rahemang Taiming


PENDUDUK Kampung Kijang di Tawau, resah apabila kebun sawit yang diusahakan mereka kerap dikunjungi gajah liar sejak Mei lalu.

Penduduk mendakwa gajah berkenaan dikatakan sering berkeliaran di kawasan kebun mereka dan menghampiri penempatan penduduk untuk mencari makanan.

Tinjauan wartawan bersama seorang penduduk di kawasan kebun sawit yang terletak kira-kira 1 kilometer dari rumahnya berjaya mengesan kelibat haiwan itu, 11.30 pagi, hari ini.

Gajah dewasa yang dipercayai dari spesis Gajah Pigmy Borneo itu dilihat dalam keadaan kelaparan berkeliaran di kawasan kebun sawit berkenaan.

Penduduk, Baharun Indarsaya, 68, berkata, beberapa tahun lalu kumpulan gajah itu pernah muncul di kawasan itu dan kali ini ia muncul semula, namun tidak mendatang sebarang ancaman kepada penduduk kampung.

Gajah Pigmy Borneo dikesan berkeliaran di kawasan ladang kelapa sawit.
Gajah Pigmy Borneo dikesan berkeliaran di kawasan ladang kelapa sawit.

Katanya, lima hari lalu penduduk mengatakan kerap melihat kemunculan gajah itu yang bukan saja berkeliaran di kawasan kebun sawit, malah di sekitar sungai berdekatan kampung itu.

"Jumlah sebenar gajah itu kami tidak pasti, tetapi ada penduduk mendakwa pernah terserempak dengan gajah betina bersama beberapa anak gajah.

"Ada juga penduduk melihat gajah memusnahkan tanaman seperti pokok kelapa dan pisang," katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Daerah Tawau, Sailun Aris, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berkaitan kehadiran gajah di kampung terbabit.

"Sejak minggu lalu (Khamis), kami ada menerima aduan dan tindakan kawalan dan usir sudah dibuat.

"Selain melakukan kerja kawalan, kami juga membuat tangkapan sebelum memindahkan gajah ini ke habitat asal," katanya.

Baharun menunjukkan lokasi gajah kerap dilihat berkeliaran di kawasan ladan kelapa sawit di Kampung Jagung, di sini. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Baharun menunjukkan lokasi gajah kerap dilihat berkeliaran di kawasan ladan kelapa sawit di Kampung Jagung, di sini. FOTO Abdul Rahemang Taiming.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 3:41 PM