PERLU tahu perbezaan antara doula beretika dan tidak beretika.
PERLU tahu perbezaan antara doula beretika dan tidak beretika.
Siti Nadirah Hafidzin

Sejak kebelakangan ini isu doula atau peneman kelahiran rancak dibincangkan di media cetak dan elektronik. Malah ia menjadi topik hangat di laman sosial seperti Facebook.

Ada yang menyokong, ada pula lantang membangkang. Semuanya ada pandangan tersendiri sama ada berlandaskan pengalaman, logik akal atau ilmu perubatan.

Sebenarnya ia bukanlah perkara baru namun maklumat mengenai ‘kerjaya’ berkenaan tidak disebarkan secara meluas dan terperinci sebelum ini sehinggalah berlakunya kes kematian bayi perempuan di Taman Daya, Johor Bahru yang didakwa ada kaitan rapat dengan perkhidmatan doula.

Polis mengesahkan kematian bayi berkenaan bukanlah berpunca daripada khidmat doula, sebaliknya disebabkan lemas selepas dilahirkan dalam keadaan songsang.

Atas sebab itu, semua orang terutama pasangan suami isteri yang bakal menyambut kelahiran cahaya mata perlu mempunyai pengetahuan dan maklumat tepat mengenai khidmat doula kerana ada perbezaan besar antara golongan yang beretika dan sebaliknya.

Pegawai perubatan yang mengkaji pergerakan doula di Malaysia, Dr Mohd Syamirulah Rahim berkata, terdapat pelbagai faktor mengapa wanita cenderung memilih perkhidmatan doula.

“Ada yang memahami doula memberi khidmat yang baik, dari segi peranannya sendiri selaku peneman ketika bersalin, memberi sokongan emosi, termasuk ilmu lain seperti kaedah bertenang dan bernafas.

“Tetapi malangnya, ada juga segelintir wanita dan pasangan yang tidak dapat membezakan antara doula yang beretika dengan yang melanggari etika,” katanya kepada Harian Metro.

Dr Mohd Syamirulah yang juga Pengasas Bersama Medical Mythbusters Malaysia berkata, selaku doula, mereka tidak dibenarkan memberikan nasihat perubatan atau melakukan sebarang tindakan dan membuat keputusan membabitkan soal nyawa.

DR Mohd Syamirulah.
DR Mohd Syamirulah.

“Mereka tidak dibenarkan memberitahu pelanggan kaedah bersalin mana yang sesuai atau apa juga keputusan perubatan lain seperti vaksin dan ubat-ubatan.

“Disebabkan itu apabila doktor atau pegawai perubatan di pusat perubatan atau klinik sudah menilai seseorang ibu hamil dan mengesan dia berisiko tinggi yang perlu bersalin di hospital atau bersalin secara pembedahan, ia mestilah dipatuhi.

“Anda perlu ketahui, doktor memberi nasihat demi kebaikan dan keselamatan ibu hamil itu sendiri. Tiada doktor yang mahu pesakitnya melalui detik cemas yang boleh membahayakan nyawa ibu dan anak ketika bersalin.

“Malangnya, ada doula yang tidak beretika dan cuba menghasut pasangan dengan menyatakan pendapat doktor tidak betul,” katanya.

Katanya, berdasarkan kajian dan pemerhatiannya, dia mengesan ada doula yang bertindak salah dengan menyatakan ibu hamil yang bermasalah bebas bersalin di mana-mana serta tidak perlu dibedah.

“Inilah yang menyedihkan kerana doula tidak beretika ini sudah melampaui batas. Lebih sedih apabila ramai ibu hamil yang termakan kata-kata doula ini.

“Sekali lagi saya tegaskan, bukan semua doula begitu. Ada ramai doula yang beretika dan memberikan khidmat baik. Bagaimanapun, lebih baik kita berhati-hati dan carilah maklumat tepat mengenai perkhidmatan ini bagi mengelakkan anda menjadi mangsa keadaan,” ujarnya.

Dua jenis doula di Malaysia

Dr Mohd Syamirulah berkata, secara umumnya perkhidmatan ini terbahagi kepada dua jenis iaitu:

• Penyelidik kelahiran - Golongan ini hanya menawarkan kelas antenatal kepada ibu hamil dan mereka tidak akan hadir ketika ibu bersalin.

• Doula (peneman kelahiran) - Doula diupah untuk hadir ketika ibu bersalin. Terdapat doula yang memberikan syarat mereka tidak akan hadir ketika proses kelahiran tanpa disertai pasukan perubatan. Ini adalah doula yang berprinsip dan mempunyai etika.

“Ada juga doula yang mementingkan keuntungan, sanggup hadir meskipun tiada pasukan perubatan bahkan berani mengendalikan kelahiran. Lebih lebih teruk lagi, apabila terdapat doula yang berani memberi arahan kepada ibu bersalin, melalui aplikasi WhatsApp saja,” katanya.

Menurutnya, doula di Malaysia, ada yang bernaung di bawah organisasi tertentu seperti Amani Birth. Doula yang bertauliah di bawah AMANI sering dinasihati oleh pengasas organisasi berkenaan untuk sentiasa berpegang kepada etika dan dilarang memberikan nasihat perubatan.

“Selain itu terdapat juga doula yang bergerak bersendirian melalui syarikat sendiri. Malangnya, tidak ada satu organisasi yang bertanggungjawab menyelia atau mengawal kumpulan doula ini. Akibat tidak ada mekanisma kawalan, sukar untuk dipastikan perbezaan di antara doula yang berprinsip dengan yang melanggar etika.

“Saya berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat ikhtiarkan sesuatu untuk mengubah situasi ini,” ujarnya.

Menurut Dr Mohd Syamirulah, satu kempen berterusan perlu dilakukan untuk memastikan pasangan sentiasa mengingati bahawa keselamatan ibu dan bayi perlu menjadi keutamaan.

“Ramai ibu hamil terpesona dengan promosi doula tidak beretika yang menjanjikan suasana bersalin tenang dan indah, sehingga sanggup memperjudikan keselamatan nyawa mereka dan anak dalam kandungan.

“Dalam konteks ini, adalah amat penting untuk mendapatkan sumber rujukan ilmu dan maklumat yang betul,” katanya.

Risiko yang bakal dihadapi

Pelbagai risiko perlu dihadapi wanita yang memilih khidmat doula terutama yang tidak beretika.

Dr Mohd Syamirulah berkata, semua doula tidak berdaftar dengan KKM. Oleh itu, tiada kaedah untuk membuat penilaian kepada golongan ini. Malah tiada standard minimum untuk menentukan siapa yang beretika dan mempunyai pengetahuan meluas terhadap khidmat ditawarkan.

“Sumber maklumat yang ada hanyalah testimoni dan kebanyakan doula gemar berkongsi cerita indah dan mendiamkan kes yang buruk.

“Risiko kedua adalah kelahiran, walaupun ia satu proses fitrah namun risiko sentiasa ada. Komplikasi boleh berlaku pada bila-bila masa, termasuk kepada ibu yang dinilai berisiko rendah. Anda perlu tahu, tahap kesihatan dan keadaan kandungan setiap wanita itu tidak sama. Inilah sebabnya anda perlukan pasukan perubatan untuk membantu proses kelahiran,” katanya.

SETIAP ibu hamil perlu berhati-hati dan jangan ambil sebarang tindakan yang boleh membahayakan.
SETIAP ibu hamil perlu berhati-hati dan jangan ambil sebarang tindakan yang boleh membahayakan.

Katanya, untuk risiko terhadap bayi pula, ada kemungkinan berlaku kecacatan akibat komplikasi seperti sangkut, patah tulang, bayi kekurangan oksigen (lemas), jangkitan kuman dan paling teruk adalah kematian.

“Si ibu juga mempunyai risiko yang sama antaranya komplikasi seperti pendarahan, uri tidak dikeluarkan, sawan eklampsia, rahim pecah dan kematian.

“Memandangkan risiko mungkin boleh terjadi pada bila-bila masa, setiap ibu hamil dinasihati untuk mengambil langkah berjaga-jaga. Jika anda masih berpendapat memerlukan khidmat doula, pilihlah yang beretika dan mempunyai banyak pengetahuan. Apa yang penting adalah keselamatan anda dan anak yang bakal dilahirkan,” katanya.

Tidak sedia khidmat penjagaan, nasihat perubatan

Peranan doula

Kebanyakan doula menjalin ‘persahabatan’ dengan pelanggan beberapa bulan sebelum kelahiran. Dalam tempoh ini pelanggan boleh bertanya pelbagai soalan mengenai kelahiran, meluahkan kebimbangan dan kerisauan. Malah doula juga bersama-sama merancang kaedah bersalin seperti dikehendaki pelanggan.

Bagaimanapun, doula tidak menyediakan khidmat penjagaan atau nasihat perubatan, juga tidak menentukan apa yang terbaik untuk pelanggan berdasarkan tahap kesihatannya walaupun mereka mempunyai banyak pengetahuan mengenai kehamilan dan kelahiran.

Ketika kelahiran, doula berada dekat dengan pelanggan untuk menenangkannya dan mengurangkan kesakitan melalui teknik pernafasan, relaks, urutan dan posisi kelahiran.

Doula juga menggalakkan pembabitan suami pelanggan dalam proses kelahiran ini.

Peranan suami

Doula tidak mengambil alih peranan suami ketika kelahiran, sebaliknya memberikan khidmat nasihat apa yang perlu dilakukan oleh bakal bapa dalam menenangkan isteri.

Memilih doula

Ambil masa untuk memilih doula, supaya anda bertemu dengan orang yang boleh membuatkan anda berasa selesa. Berikut adalah soalan yang perlu ditanya ketika ‘menemu bual’ doula:

• Apakah latihan yang pernah anda jalani?

• Apakah perkhidmatan yang anda tawarkan?

• Berapakah caj yang dikenakan?

• Adakah anda boleh meluangkan masa menemani saya ketika saya bersalin kelak?

• Mengapa anda menjadi doula?

• Apakah falsafah anda mengenai kelahiran atau proses bersalin?

• Adakah kita boleh bertemu sebelum saya melahirkan anak?

• Apa akan terjadi sekiranya ditakdirkan anda tidak lapang pada hari saya bersalin?

Sumber: American Pregnancy Association

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 1:46 PM