Aniza Zainudin

Memetik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada 14 Februari lalu, didapati ada penurunan positif bagi peratusan kelahiran bayi yang tidak selamat daripada 24.8 peratus pada 1990 ke 1.7 peratus (2012), diikuti hanya 0.4 peratus dicatatkan pada 2016.

Ini membuktikan usaha dilaksanakan kerajaan dalam menyediakan kepakaran dan perkhidmatan pengendalian kelahiran serta fasiliti buat ibu hamil dan bayi antara terbaik malah diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Prosedur melahirkan anak bukan mudah untuk digalas seseorang ibu tetapi kerana cintakan penyambung keturunan ini, dia terdorong mempertaruhkan nyawa.

Kewujudan pelbagai kaedah melahirkan anak seperti bersalin di rumah, peneman kelahiran (doula), kelahiran dalam air atau kelahiran dengan bantuan hipnosis antara alternatif yang ada buat si ibu selain pilihan melahirkan bayi secara alami atau semula jadi.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Dr Loh Huey Wen mengakui wujudnya kontroversi dalam pilihan kaedah melahirkan bayi terutama risiko kematian lantaran komplikasi.

“Sebelum membuat keputusan dalam merancang kelahiran bayi, ibu hamil dan suami seharusnya melakukan penyelidikan mencukupi mengenai kaedah yang dipilih.

“Disarankan ibu sentiasa berunding dengan pakar perubatan dan bincangkan pilihan dibuat bagi memastikan keputusan berkenaan adalah tepat dan selamat bagi kedua-dua pihak (ibu dan bayi).

“Meskipun tersedia beberapa kaedah, kemungkinan ia tidak sesuai buat ibu yang memiliki komplikasi penyakit lain yang boleh mengakibatkan risiko kehilangan nyawa,” katanya dalam seminar I Love Me mengenai topik Kontroversi Kelahiran, baru-baru ini.

Kaedah melahirkan anak di rumah dikatakan selamat bagi wanita mengandung berisiko rendah kerana ia disifatkan ‘kelahiran bersifat lembut’ apabila ibu berasa selamat dan tenang di kediaman peribadi.

Dr Loh berkata, antara kebaikan kaedah bersalin di rumah adalah mengurangkan risiko pembedahan dengan penggunaan pelbagai peralatan dan komplikasi pendarahan bagi wanita tanpa masalah kesihatan.

Namun begitu, beliau juga tidak menafikan wujudnya implikasi keselamatan seperti kematian bayi dan kerosakan otak akibat kekurangan oksigen ketika kelahiran serta pendarahan teruk dialami ibu.

Kehadiran peneman kelahiran atau doula pula antara isu kesihatan popular masa kini apabila negara digemparkan dengan kes kematian ibu dan bayi selepas kelahiran, baru-baru ini.

KESELAMATAN ibu dan bayi paling utama.
KESELAMATAN ibu dan bayi paling utama.

“Peneman kelahiran bukanlah pakar dalam pengendalian kelahiran sebaliknya peranannya sekadar membantu ibu mempunyai pengalaman kelahiran positif ketika proses berlangsung.

“Doula menyediakan sokongan emosi, maklumat dan fizikal sebelum, sewaktu dan selepas kelahiran. Ia bekerjasama rapat dengan ahli keluarga sebagai satu pasukan.

“Sekiranya berlaku komplikasi ketika dan selepas bersalin, ibu mempunyai risiko kematian, jangkitan dan pendarahan kerana doula tidak memiliki kepakaran dan ilmu perubatan,” katanya.

Mengulas kaedah pembedahan caesar dilakukan untuk kelahiran awal, Loh mengakui konsep ‘too posh to push’ (terlalu anggun untuk meneran) dilakukan selebriti Barat seperti Victoria Beckham, Claudia Schiffer dan Madonna sebenarnya membahayakan keselamatan bayi semata-mata ingin mengurangkan kesan regangan terhadap kulit di bahagian perut.

Kaedah kelahiran air juga popular kerana elemen air dibuktikan mampu meningkatkan tenaga wanita.

“Elemen air merangsang penguncupan rahim lebih cekap, peredaran darah yang baik dan merendahkan tekanan darah tinggi akibat kebimbangan.

“Biarpun ia memiliki manfaat tersendiri, kaedah ini tidak digalakkan buat ibu memiliki penyakit kelamin (herpes), masalah kesihatan dan perubatan seperti tekanan darah tinggi, yang pernah mengalami pendarahan sepanjang kehamilan, dijangka melahirkan kembar atau bayi pramatang,” jelasnya.

Kaedah kelahiran hipnosis juga dikatakan boleh membimbing bakal ibu dalam persediaan melahirkan bayi secara tenang kerana ia menitikberatkan kesihatan psikologi dan fizikal ibu.

Kaedah ini juga mendidik golongan ibu merangkumi teknik pernafasan, bertenang, visualisasi, amalan meditasi, amalan pemakanan bernutrisi dan penjagaan bentuk badan.

Proses kelahiran (dipetik daripada myHealth)

Fasa pertama

• Kelahiran bermula dengan mulanya fasa pertama proses kelahiran

• Rahim mengecut setiap 10 hingga 30 minit pada mulanya dan pengecutan berlaku selama 40 saat

• Kekerapan pengecutan rahim akan meningkat perlahan-lahan setiap dua minit

• Setiap kali rahim mengecut, pangkal rahim akan membuka sehingga mencapai 10 sentimeter lebar

• Biasanya pangkal rahim diselaputi lapisan mukus yang menolong cegah jangkitan. Lapisan terbabit akan dikeluarkan sebelum proses kelahiran bermula

• Ini diikuti dengan pecahnya selaput air ketuban

Fasa kedua

• Bayi dikeluarkan dari rahim melalui vagina. Ia berlaku apabila otot rahim dan abdomen mengecut dengan kuat

• Biasanya kepala bayi dilahirkan dahulu

• Sekiranya bayi berkedudukan songsang, bahagian punggungnya akan dikeluarkan dahulu. Dalam keadaan ini kaki bayi terlipat ke atas. Kini, bagi ibu yang kali pertama hamil, selalunya bayi akan dikeluarkan melalui pembedahan Caesar

• Selepas dilahirkan, tali pusat bayi yang menghubungkan bayi dengan uri akan dikepit dan dipotong

Fasa ketiga

• Fasa ketiga kelahiran berlaku lebih kurang 15 hingga 30 minit selepas bayi dilahirkan

• Uri dikeluarkan. Uri bersambung kepada bayi melalui tali pusat yang terdiri daripada saluran darah dan tisu kolektif

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 8:55 AM