MENYEDIAKAN sarapan di Tapi Aike, Argentina. FOTO Ihsan Maslinda Supandi
MENYEDIAKAN sarapan di Tapi Aike, Argentina. FOTO Ihsan Maslinda Supandi
Muhamaad Razis Ismail

SETIAP individu memiliki cita-cita tersendiri namun tidak semua berjaya merealisasikannya dalam kehidupan.

Untuk memastikan impian menjadi kenyataan ia tentunya menuntut kesungguhan, pengorbanan dan semangat juang yang tinggi.

Bagi Maslinda Supandi, 33, biarpun sudah selesa dengan kerjaya sebagai jurutera kimia di sebuah syarikat pemprosesan minyak kelapa sawit, dia mengambil keputusan drastik untuk menjadi pengembara sepenuh masa sejak empat tahun lalu.

Lebih unik, anak ketiga daripada empat beradik ini menggunakan basikal sebagai kenderaan utama untuk mengembara sendirian sehingga luar negara tanpa sebarang penajaan.

Setakat ini sudah banyak negara dijelajah termasuk New Zealand, China, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan, Iran dan Itali.

Kini berikutan penularan pandemik Covid-19, dia dan suaminya, Giacomo Venturelli yang berasal dari Itali 'berehat' sebentar di Chile sebelum bakal meneruskan perjalanan mengembara di sekitar negara Amerika Selatan.

BERKAYUH dengan suaminya yang berkongsi minat yang sama. FOTO Ihsan Maslinda Supandi
BERKAYUH dengan suaminya yang berkongsi minat yang sama. FOTO Ihsan Maslinda Supandi

Maslinda berkata, dia sudah bekerja dalam industri getah dan minyak sawit selama hampir tujuh tahun.

Pada masa sama dia sering mengembara ke banyak tempat dengan waktu yang terhad disebabkan komitmen kerja.

"Bagi saya pada umur sekarang adalah sesuai untuk merealisasikan impian berbasikal di negara yang menjadi idaman saya sejak dulu.

"Soal kerja saya percaya dengan rezeki Allah. Insya-Allah jika kita bagus dan penuh usaha pasti ada peluang kerja yang menanti," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menceritakan lebih lanjut, pengembaraan berbasikal pertamanya adalah dalam negara iaitu dari Johor ke Klang, Selangor.

"Saya tiada penaja khas melainkan mendapat sedikit bantuan ketika pengubahsuaian basikal di tempat saya melakukan tugas sukarela di The Basikal, Bangsar sebelum mula mengembara.

"Kebanyakan modal pengembaraan datang dari simpanan saya, jualan ebook, kalendar berserta gambar dan cerita pengembaraan saya melalui Instagram violetbiru.

"Untuk berjimat sepanjang pengembaraan, saya buat bajet awal sekitar USD 5 hingga USD 10 setiap hari selain masak makanan sendiri dan tidur di khemah," katanya.

Maslinda memilih untuk melihat negara luar dengan berbasikal kerana keunikan dan pengalaman baru yang ingin nikmati.

"Ketika berkayuh basikal di Wilayah Xinjiang, umpamanya saya dapat melihat China bukan hanya terdiri dari masyarakat berbangsa Cina, malah terdapat masyarakat Uighur dengan agama, budaya dan makanan berbeza.

BEREHAT di Carateral Austral. FOTO Ihsan Maslinda Supandi
BEREHAT di Carateral Austral. FOTO Ihsan Maslinda Supandi

"Malah, ketika berkayuh di Iran saya dapat melihat betapa ramahnya penduduk di sana yang nyata berbeza dengan apa dilaporkan. Bagi saya mengembara di luar negara dapat membuka minda dan belajar lebih banyak benda baru," katanya.

Menurutnya, mengembara dengan basikal membuka matanya untuk melihat dunia dengan lebih dekat.

"Berbasikal, saya bukan sahaja dapat melihat keindahan tempat, malah dapat berinteraksi dengan penduduk tempatan di sepanjang perjalanan.

"Basikal tidak terlalu laju seperti motosikal dan tidak terlalu perlahan seperti berjalan. Dengan basikal saya ada masa untuk berhenti dan berbual dengan penduduk tempatan di samping menghargai keindahan ciptaan Tuhan.

"Malah, setiap kali saya menemui tempat baru, ia adalah suatu pengalaman yang tak dapat saya lupakan. Merentas sempadan negara dengan basikal, melihat perubahan budaya dan bahasa dari satu negara ke satu negara adalah suatu yang sangat mengujakan. Semua kejutan adalah pengalaman yang sangat berharga," katanya.

Tambahnya, pengembaraan secara berbasikal di luar negara bermula di New Zealand selama tiga bulan untuk menguji keupayaannya.

"Alhamdulillah selepas itu, saya tidak menoleh ke belakang lagi dan meneruskan kayuhan saya dari China menuju Itali dengan melalui banyak negara seperti Kyrgyzstan, Iran, Armenia dan Georgia, Turki, Bulgaria, Macedonia dan Albania.

MASLINDA menyeberang Pasarella atau The Little Bridge yang dibina untuk laluan kambing. FOTO Ihsan Maslinda Supandi
MASLINDA menyeberang Pasarella atau The Little Bridge yang dibina untuk laluan kambing. FOTO Ihsan Maslinda Supandi

"Selepas itu saya membuat kayuhan di Tasmania, Australia selama dua bulan bersama dengan suami dan dua lagi rakan.

"Kini saya dan suami di Amerika Selatan. Kami memulakan trip dari Ushuaia (bandar paling selatan di Amerika Selatan) dan merancang menuju utara iaitu Panama jika keadaan mengizinkan," katanya.

Menariknya, wanita kelahiran Klang ini menemui cintanya menerusi aktiviti pengembaraan.

"Saya mengenalinya ketika dia berbasikal di Malaysia lima tahun lalu. Kami kemudian bertemu semula di Turki tiga tahun lalu ketika saya sedang berkayuh di sana dan dia sedang 'berjalan' ke Kepulauan Greek.

"Sejak itu kami mula mengenal hati budi masing-masing dan mengambil keputusan untuk berkahwin awal tahun lalu. Kini kami mengembara berbasikal bersama," katanya.

Mengulas lanjut, dia dan suami, kini berada di Puerto Octay, Chile dan terpaksa memperlahankan pengembaraan disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

"Chile kini dilanda musim sejuk dan hujan sepanjang hari. Saya dan suami melakukan kerja secara sukarela di ladang termasuk pemulihan semula hutan dengan menanam anak pokok di sekitar Tasik Llanquihe," katanya.

Ditanya apakah cabaran yang dihadapi sebagai wanita berbasikal, Maslinda mengakui ia tiada beza dengan lelaki.

"Mungkin bagi saya sebagai wanita adalah tenaga dan perasaan takut ketika berada di tempat asing. Namun semua ini mengajar saya menjadi lebih peka dan bijak mentafsir keadaan sekeliling.

"Saya boleh nasihatkan wanita yang ingin menjadi pengembara perlu yakin dengan diri sendiri kerana sebenarnya kita lebih kuat dari apa yang difikirkan.

"Untuk menambah keyakinan, perlulah ada perancangan, simpanan, dan ilmu pengetahuan dengan banyakkan membaca serta bergaul dengan mereka berpengalaman, Insya-Allah akan dipermudahkan jalan kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 7:28 AM