PERJALANAN dari Terminal Penumpang South Port ke Jeti Pulau ketam mengambil masa sekitar 40 minit.
PERJALANAN dari Terminal Penumpang South Port ke Jeti Pulau ketam mengambil masa sekitar 40 minit.
PEMANDANGAN menarik yang sempat dirakam ketika berkunjung ke Pulau Ketam yang majoriti dihuni penduduk Cina dengan kepadatan penduduk sekitar 6,000 orang.
PEMANDANGAN menarik yang sempat dirakam ketika berkunjung ke Pulau Ketam yang majoriti dihuni penduduk Cina dengan kepadatan penduduk sekitar 6,000 orang.
SELAIN berjalan kaki, pengangkutan utama di pulau berkenaan adalah basikal dan skuter elektrik.
SELAIN berjalan kaki, pengangkutan utama di pulau berkenaan adalah basikal dan skuter elektrik.
HAMPARAN udang kering yang dijemur menjadi tatapan sebaik tiba di kilang udang kering terbesar di pulau itu.
HAMPARAN udang kering yang dijemur menjadi tatapan sebaik tiba di kilang udang kering terbesar di pulau itu.
SELAIN berjalan kaki, pengangkutan utama di pulau berkenaan adalah basikal dan skuter elektrik.
SELAIN berjalan kaki, pengangkutan utama di pulau berkenaan adalah basikal dan skuter elektrik.
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang bergambar di sekitar pulau yang menampilkan pelbagai hasil seni yang menarik.
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang bergambar di sekitar pulau yang menampilkan pelbagai hasil seni yang menarik.
SANGKAR ikan yang diusahakan penduduk boleh dilihat di sekitar pulau berkenaan.
SANGKAR ikan yang diusahakan penduduk boleh dilihat di sekitar pulau berkenaan.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Pulau Ketam jarang sekali disebut sebagai lokasi untuk dikunjungi dan ramai berpendapat pulau berkenaan adalah penempatan bagi sebuah komuniti semata-mata.

Penulis yakin ramai yang belum pernah berkunjung ke pulau kecil berdekatan Pelabuhan Klang, Selangor itu.

Diberi kesempatan meneroka pulau itu dalam masa satu hari memberi pengalaman bermakna dan ternyata memperlihatkan sisi baru pulau yang majoriti dihuni penduduk Cina.

Mempunyai jumlah penduduk sekitar 6,000 orang, pengangkutan utama ke pulau berkenaan adalah feri atau bot laju melalui Terminal Penumpang Pelabuhan Selatan, Pelabuhan Klang, Selangor.

Seawal jam 8.30 pagi, feri pertama memulakan perjalanan ke pulau itu yang mengambil masa sekitar 40 minit.

Penulis memilih untuk duduk di dek atas feri berkonsep terbuka sambil menghidup udara segar dengan pemandangan laut serta hutan paya bakau yang menghijau sepanjang perjalanan.

Feri singgah untuk mengambil dan menurunkan penumpang di Jeti Kampung Sungai Lima iaitu satu perkampungan kecil sebelum tiba ke Jeti Pulau Ketam.

Sebaik sampai di Jeti Pulau Ketam, terlihat kawasan jeti sedikit sibuk dengan aktiviti keluar masuk pengunjung dan penduduk pulau berkenaan.

Pertama kali menjejakkan kaki ke sana ternyata memberi pengalaman baru dan perkara menarik yang masih meninggalkan kesan adalah suasana pulau yang begitu tradisional.

Terasa seperti kembali ke kawasan perkampungan sekitar 80-an dan 90-an dulu dengan hanya dua pengangkutan utama yang digunakan di pulau itu iaitu basikal dan skuter elektrik.

Jarak dari satu rumah ke satu rumah amat dekat dan pengunjung boleh meneroka ke seluruh pulau dengan hanya berjalan kaki. Bagaimanapun, perkhidmatan basikal dan skuter sewa turut disediakan dengan harga berpatutan.

Menangkap hasil laut adalah pekerjaan utama namun, terdapat sebilangan penduduk menjalankan perniagaan seperti membuka kedai runcit, restoran dan hotel.

Kebanyakan rumah dibina daripada kayu menjadikan pemandangan di pulau itu lebih klasik tapi pengunjung pasti turut terpegun melihat selingan rumah banglo batu yang agam dan dikatakan milik nelayan.

Rakam gambar

Berjalan merentasi jambatan dari jeti ke pulau berkenaan bukan saja disajikan dengan pemandangan santai air laut tapi pengunjung juga pasti teruja melihat kayu yang digantung pada bahagian bumbung jambatan.

Kayu yang dipotong bentuk pelbagai hidupan laut seperti ketam dan ikan itu seakan-akan menyambut mesra kehadiran tetamu.

Landskap kampung yang indah terutama ketika waktu matahari terbit dan terbenam turut menjadi kemestian untuk bergambar dan menjadi kenangan dibawa pulang.

Mercu tanda wajib untuk bergambar semestinya di papan tanda ketam gergasi yang berwarna-warni berdekatan dengan jeti.

Makanan laut segar dan enak

Tidak sah kalau ke Pulau Ketam tanpa menikmati makanan laut terutama ketam kerana hasil laut baru ditangkap yang segar.

Masakan Cina Muslim pasti membuat pengunjung ingin datang semula ke sini selepas menikmati kelazatan hidangan yang disediakan.

Dalam perjalanan ke pulau ini, penulis bertemu dengan satu rombongan yang berkunjung hanya untuk makan dan akan pulang semula pada waktu petang.

Ketam di sana dikatakan mempunyai rasa yang lebih manis kerana di sekitar Pulau Ketam terdapat banyak kawasan paya bakau.

Pengunjung juga tidak perlu risau kerana Hotel Sea Lion sudah biasa menerima kunjungan pelancong beragama Islam dan menghidangkan makanan halal.

Hotel terbesar di Pulau Ketam itu turut menawarkan bilik untuk pengunjung menginap dengan harga yang rendah dan boleh memuatkan sehingga 300 orang pada satu masa.

Bagi yang memilih untuk menginap dan ingin mencari makan tengah malam, terdapat restoran halal ala Thai boleh dikunjungi.

Kilang memproses udang kering

Pulau Ketam juga banyak menghasilkan produk hasil laut dan antara yang menjadi tumpuan adalah udang kering.

Sebaik melangkah ke kawasan kilang pengunjung disambut dengan pemandangan hamparan udang kering yang sedang dijemur.

Menariknya di sini, pengunjung dapat melihat pemilik kilang memproses udang kering dengan cara tersendiri.

Menurut ketua kampung Pulau Ketam Datuk Cha Keng Lee, udang kering yang diproses di kilang itu menggunakan mesin khas yang dicipta sendiri pemiliknya.

“Menggunakan enjin motor dan binaan kayu sendiri, pemilik kilang ini membina beberapa mesin untuk memudah serta mempercepatkan kerja di kilang termasuk membuang kulit udang,” katanya.

Namun, proses akhir mengasingkan udang kering daripada bendasing masih konvensional iaitu menggunakan tenaga manusia kerana ia perlu melalui proses pengasingan yang teliti bagi mengelakkan pembaziran.

Kilang ais

Perjalanan meneroka kampung nelayan itu diteruskan dengan lawatan ke kilang ais. Selain melihat kecanggihan dan skala mesin ais yang besar di sana, pengunjung juga pasti tidak ketinggalan melihat nelayan bot besar melabuhkan hasil tangkapan.

Menurut Datuk Cha, hasil tangkapan itu bukan saja untuk edaran sekitar pulau tapi dipek dengan ais dan dihantar ke negeri lain seperti Melaka dan Pulau Pinang.

Bersiar-siar menaiki bot

Pengunjung boleh juga meneroka pulau dengan menaiki bot persiaran dan melawat ke sangkar ikan sekitar pulau berkenaan.

Sepanjang bot berjalan, Datuk Cha berkongsi cerita mengenai sejarah dan permulaan pulau berkenaan.

“Ketika zaman dahulu, orang pertama yang datang ke kawasan ini perlu memilih antara pulau ini atau pulau sekitar untuk didiami.

“Tapi mereka akhirnya memilih Pulau Ketam kerana pulau berdekatan dirasakan tidak sesuai menjadi penempatan kerana mempunyai banyak sungai.

“Nama Pulau Ketam diberikan kerana terdapat banyak ketam di sekitar pulau ini ketika itu,” katanya.

Singgah di salah satu sangkar ikan, Datuk Cha mengeluarkan sebaldi udang untuk makanan ikan dalam sangkar dan rata-rata ikan di dalamnya bersaiz besar dengan berat melebihi satu kilogram.

Hasil sangkar laut itu turut menjadi salah satu produk untuk dieksport ke luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 11:48 AM