AKTIVITI memberi makan burung menjadi aktiviti baru di Pangkor.
AKTIVITI memberi makan burung menjadi aktiviti baru di Pangkor.
KOTA Belanda dan Batu Bersurat di Kampung Teluk Gadung.
KOTA Belanda dan Batu Bersurat di Kampung Teluk Gadung.
KEINDAHAN pantai di Pulau Pangkor memberikan ketenangan kepada pengunjung dengan suasana damai.
KEINDAHAN pantai di Pulau Pangkor memberikan ketenangan kepada pengunjung dengan suasana damai.
Noor Hidayah Tanzizi

Keindahan Pulau Pangkor yang terletak di daerah Manjung, Perak, pasti mengamit pengunjung yang mengimpikan suasana percutian ala perkampungan nelayan yang mendamaikan.

Pulau yang terletak kira-kira 90 kilometer (km) dari barat daya Ipoh dan tujuh batu nautika dari Jeti Lumut ini memiliki sejarahnya tersendiri.

Untuk menyeberangi pulau yang kaya dengan terumbu karang dan hidupan laut ini, pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan feri di Jeti Lumut dan Jeti Marina Island.

Tiket di kedua-dua jeti berharga RM10 bagi dewasa untuk pergi dan balik manakala kanak-kanak berusia empat hingga 11 tahun hanya RM5.

Perkhidmatan feri dari Jeti Marina Island mengambil masa 10 minit perjalanan manakala di Jeti Lumut selama 45 minit.

Di Pangkor pengunjung akan disambut deretan teksi merah jambu yang cukup sinonim dengan pulau peranginan ini yang sedia membawa pelancong ke seluruh pulau, malah pengunjung boleh menyewa motosikal dan kereta dengan harga berpatutan.

Keindahan pantainya pasti mencuri tumpuan pencinta alam yang menginginkan suasana santai.

Antara yang menjadi tarikan pelancong ialah Pantai Pasir Bogak, Pantai Teluk Nipah, Teluk Ketapang, Pantai Coral dan Pantai Puteri Dewi kerana bersih, indah dan tenang.

Pantai terbabit juga menjadi tumpuan pengunjung untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti berkelah, berenang, menyelam dan memancing selain menaiki bot pisang, melihat matahari terbenam, menarik pukat bersama tekong, bermain bola tampar dan bola sepak pantai.

Bagaimanapun, pantai yang paling mendapat tempat di hati pelancong ialah Pantai Teluk Nipah dan Pantai Coral di Nipah Bay kerana mempunyai gugusan pulau kecil seperti Pulau Giam dan Pulau Mentagor.

Ia pilihan terbaik melakukan aktiviti menyelam dan snorkeling yang dikelilingi batu karang, ikan dan timun laut, malah di Pulau Giam pengunjung juga berkesempatan memberi makan kepada ikan.

Kebiruan air laut dan pasir putihnya menjadikan ia lokasi percutian paling digemari bukan hanya dalam kalangan penduduk setempat, malah luar daerah ini selain pelancong luar negara.

Pulau kecil itu juga mempunyai tarikan tersendiri kerana kegemaran penduduk setempat menjadikan ikan buntal sebagai hiasan rumah mahupun kedai.

Jadi, jangan terkejut apabila anda melewati setiap rumah dan kedai di sepanjang pulau itu ikan buntal yang bukan dikategorikan ikan cantik banyak digantung dan ditiup angin laut.

Di sini juga pelbagai menu berasaskan makanan laut segar dari bot nelayan boleh didapati.

Jika mahukan menu yang ringan, pengunjung boleh memilih makanan popular penduduk Pangkor iaitu laksa mi atau lebih dikenali dengan nama ‘Laksa Mi Pangkoq’.

Istimewanya, laksa mi tidak menggunakan mi biasa atau laksa tetapi mi yang diadun khas dan disertakan bersama sup jernih berasaskan ikan atau udang, sambal tumis merah, hirisan kacang panjang serta lobak masin.

Selepas menjamu selera, pengunjung boleh melawat tempat peninggalan sejarah ratusan tahun lalu iaitu Kota Belanda dan Batu Bersurat di Kampung Teluk Gedung.

Tarikan lain di pulau berkenaan antaranya Galeri Pangkor, Taman Tarikan Foo Ling Kong dan Sunset View Chalet Teluk Nipah untuk aktiviti memberi makan burung enggang, aktiviti pembuatan bot dan perkampungan nelayan di Kampung Teluk Dalam.

Sebelum pulang, pengunjung boleh membeli hasil laut seperti ikan bilis, sate ikan, sotong kering, ikan pedas dan pelbagai produk berasaskan hasil laut di sepanjang jalan Pekan Pangkor atau beli terus di kilang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 11:02 AM