FATIMAH menunjukkan hidangan mi udang  dijual RM9 sepinggan.
FATIMAH menunjukkan hidangan mi udang dijual RM9 sepinggan.

Pulau Aman bukan sahaja giat membangun dengan produk industri kecil dan sederhana (IKS), malah keunikan di perkampungan nelayan itu menjadi sumber pendapatan penduduk.

Pelbagai aktiviti seperti memancing, berkayak, berbasikal, menaiki bot, melihat sangkar ikan, udang lipan, tiram dan sebagainya ditawarkan kepada pengunjung. Lebih menarik, ia diusahakan sendiri penduduk kampung itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Aman Sanusi Ismail, 59, berkata pulau berkeluasan kira-kira 116.5 hektar (287.8 ekar) itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu Pulau Aman dan Pulau Gedung yang belum diteroka.

Katanya, selain berpeluang mendapatkan produk hasil laut dengan harga berpatutan, pengunjung boleh melihat sendiri proses membuat produk berkenaan yang diusahakan di rumah penduduk selain membeli terus hasil tangkapan daripada nelayan.

“Sebanyak 95 peratus pulau masih diseliputi hutan dan sebahagian besar penduduk menjana pendapatan sebagai nelayan manakala selebihnya pengusaha beberapa industri.

“Pulau Aman menerima kira-kira 100 pengunjung sehari dan uniknya kampung ini tiada kenderaan bermotor kecuali beberapa motosikal, sebaliknya kami hanya berjalan atau berbasikal. Ini menyebabkan kami bebas daripada pencemaran asap dan bunyi,” katanya.

Sanusi tidak bersetuju jika bahagian pulau berkenaan dibangunkan dengan prasarana moden kerana boleh menjejaskan kawasan hutan hijau di situ.

Beliau berkata, beberapa wakil syarikat pernah berkunjung ke kampung itu bagi bertanyakan persetujuan penduduk mengenai pembangunan yang dirancang di pulau berkenaan.

“Baru-baru ini, wakil Jabatan Perancang Bandar dan Desa Pulau Pinang datang ke kampung ini untuk membuat kaji selidik bagi membangunkan tanah antara Telaga Emas dan Pulau Gedung.

“Secara jujur saya tak bersetuju kerana ia akan memusnahkan keunikan teluk di situ, malah dikhuatiri pelbagai pembangunan tidak terkawal pula akan menyusul,” katanya.

Mempunyai 50 rumah, Pulau Aman menawarkan 15 inap desa yang diusahakan penduduk dan koperasi pulau berkenaan dengan purata pendapatan RM400 sebulan.

Selain dikenali sebagai ‘syurga’ kepada kaki pancing, pulau berkenaan juga terkenal dengan tempat bersejarah seperti Telaga Emas, Gua Lanun, gedung peluru dan makam purba di Pulau Gedung.

Malah, tidak lengkap ke Pulau Aman jika tidak menikmati keenakan mi udang serta pelbagai hidangan laut segar dengan harga berpatutan.

Terdapat dua restoran mi udang iaitu Restoran Kak Timah dan Restoran Terapung Pulau Aman berhampiran jeti nelayan.

Pemilik Restoran Kak Timah, Fatimah Din, 51, berkata dia mula menyediakan hidangan mi udang sejak lapan tahun lalu berikutan permintaan daripada pengunjung.

Katanya, udang dalam masakan itu dibeli terus daripada nelayan sejurus mereka pulang dari laut dan mi udang dijual sekitar RM9 sepinggan, bergantung kepada harga pasaran dan biasanya permintaannya menggalakkan pada Sabtu dan Ahad.

“Paling tidak menang tangan pada cuti umum seperti musim cuti sekolah, Tahun Baru Cina dan Krismas.

Dia juga menyediakan laksa dan bihun sup, selain menu istimewa nasi goreng udang celup tepung.

Fatimah bersyukur kerana cuaca panas yang melanda negara ketika ini tidak menjejaskan bekalan udang yang menjadi menu utama restorannya.

Katanya, dia pernah beberapa kali terputus bekalan udang tahun lalu akibat cuaca tidak menentu dan terpaksa menggantikan dengan ketam.

“Warung ini turut menjadi tumpuan kaki pancing yang meminta saya memasak hasil tangkapan mereka,” katanya yang dibantu tiga anaknya di restoran berkenaan.

Sementara itu, Nor Hazwani Hizer, 13, berkata menangkap ikan, ketam, udang dan belangkas menjadi aktiviti harian kanak-kanak dan remaja di pulau berkenaan menggantikan permainan konsol atau PlayStation seperti yang menjadi kegilaan remaja di bandar.

Katanya, sejak berusia lima tahun, dia sudah pandai memancing ikan dan menangkap udang di tepi pantai berhampiran rumahnya dan sering menangkap belangkas kerana gemar dengan keenakan rasa telurnya yang dibakar atau dijadikan kerabu.

“Mencari dan mengenal pasti lubuk belangkas tidak sukar bagi kami. Jika permukaan air di tepi laut berbuih, di situ ada belangkas.

“Belangkas dijual RM10 hingga RM16 seekor yang boleh dibeli di jeti nelayan atau restoran di kampung ini,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek, Simpang Ampat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 5:14 AM