YAMADA (kiri) bersama Mohd Addin menunjukkan antara ikan yang menjadi pilihan pembeli di pasar Raya AEON.
YAMADA (kiri) bersama Mohd Addin menunjukkan antara ikan yang menjadi pilihan pembeli di pasar Raya AEON.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Apabila menyebut nama Pulau Jerejak, pasti ramai yang teringatkan sejarah pulau itu yang pernah menempatkan pesakit kusta dan banduan, malah ia dikatakan menyimpan 1001 misteri.

Terkenal dengan jolokan Alcatraz Malaysia, penjara di pulau itu menjadi pusat pemulihan akhlak bagi tahanan yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terbabit dalam peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Namun, kerajaan mengambil keputusan menutup penjara di pulau itu pada 1990 kerana ruang kawasan yang terlalu kecil berbanding bilangan banduan yang ramai.

Bagi memanfaatkan kawasan Pulau Jerejak yang lama ditinggalkan, kawasan perairan bersebelahan pulau itu digazetkan sebagai kawasan penternakan ikan.

Penternakan ikan sangkar laut adalah alternatif baru kepada penangkapan ikan laut dalam dan dibina bagi menjaga kelestarian ekosistem hidupan di laut selain mengekalkan bekalan ikan sebagai sumber makanan kepada manusia.

Ramai masih tidak mengetahui dari mana datangnya ikan segar dengan kawalan kualiti yang dibekalkan terus dalam masa 24 jam ke peti sejuk beku di pasar raya AEON Company Malaysia Bhd (AEON) di seluruh negara.

Penulis sempat mengunjungi pusat penternakan ikan milik Goh Siong Tee Group (GST Group), sebuah syarikat pengeluar ikan mesra alam dan mampan. GST Group ialah salah satu pengedar ikan utama pasar raya AEON.

Bagi memahami permintaan pelanggan yang mahukan ikan yang diternak secara mampan, AEON menubuhkan dasar ‘AEON Sustainable Seafood Procurement Policy’.

Dasar itu bertujuan membendung penangkapan ikan yang berlebihan di laut terutamanya ikan kecil.

Ia juga menjadikan AEON bertanggungjawab meng­ambil sumber ikan dari pembekal yang beretika bagi menawarkan pilihan kepada pelanggan membeli ikan berkualiti tinggi.

Ikan yang dibekalkan GST Group memiliki sijil tempatan dan antarabangsa untuk memastikan ia berkualiti tinggi. Setiap ikan keluaran syarikat itu mempunyai label khas ‘Friend of The Sea’ dan yang penting ia turut mempunyai sijil halal.

Ketika rombongan kami tiba di Jeti Pulau Jerejak, keadaan masih sunyi kerana waktu itu masih awal pagi dan tidak ramai pengunjung menaiki bot. Pada mulanya, penulis menyangka bot yang bakal dinaiki bot penumpang, namun tekaan penulis meleset selepas kami dibawa menaiki bot nelayan ke kawasan penternakan ikan sangkar milik syarikat itu.

Menurut Juruteknik Kanan Akuakultur GST Group, Mohd Addin Azazif, terdapat beberapa syarikat lain menternak ikan di kawasan perairan Pulau Jerejak memandangkan kawasan itu bebas dari pencemaran.

Kawasan penternakan milik GST Group mempunyai lebih 300 sangkar dan kebanyakan untuk eksport.

Penolong Pengurus Besar Bahagian Pengeluaran Makanan AEON Hiroko Yamada yang turut serta dalam lawatan itu memberitahu, saiz yang dibekalkan kepada AEON adalah sekitar satu kilogram dan ikan yang sering mendapat permintaan ialah ikan siakap dan bawal emas.

“AEON memesan 300 hingga 400 kilogram ikan setiap bulan dari GST dan bekalan akan tiba dalam masa 24 jam bagi mengekal kesegaran ikan itu,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama dengan GST Group adalah satu usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga ekosistem ikan di laut dan memilih produk yang bukan saja berkualiti, malah menjaga alam sekitar.

“Selama ini orang ramai masih belum sedar kepentingan ikan yang diternak secara mampan dan AEON menawarkan pilihan ikan seperti ini di pasar raya kami,” katanya.

Program selama satu hari di sekitar Pulau Pinang itu tidak tertumpu di Pulau Jerejak saja, malah penulis turut dibawa ke ladang penetasan dan nurseri di Juru selain kilang memproses di Simpang Empat.

Kami turut menikmati makan tengah hari ikan segar yang diternak GST Group di restoran miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 1:30 PM