BERPELUANG melihat Pulau Supirak dari dekat.
BERPELUANG melihat Pulau Supirak dari dekat.
Roslina Japar


PITAS adalah sebuah daerah di Sabah yang terkenal dengan pengeluaran ikan bilis kering yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari Kota Kinabalu.

Siapa sangka, di penghujung daerah kecil ini, terdapat sebuah kampung nelayan yang memiliki keunikan lagendanya sendiri iaitu Kampung Malubang.

Kampung Malubang terletak lebih kurang 60 kilometer dari Pekan Pitas dan hasil laut seperti ikan dan ketam menjadi salah satu punca pendapatan penduduk di sini.

Penulis bersama rakan meluangkan masa selama dua hari satu malam di Kampung Malubang dengan melakukan pelbagai aktiviti menarik iaitu berkayak, menikmati waktu senja, melawat Pulau Supirak dan menarik 'bintur' ketam.

Antara keistimewaan Kampung Malubang ialah kami dapat menikmati juadah enak ikan laut dan ketam yang sangat segar.

Pada hari pertama, kami menghabiskan masa dengan menikmati keindahan waktu senja di tepi laut, berkayak dan memancing.

Sememangnya, Kampung Malubang cukup terkenal iaitu antara lokasi matahari terbenam yang tercantik di Sabah dan kami sangat bersyukur dapat menikmatinya kerana cuaca sangat baik.

Selesai menikmati pemandangan senja, kami menjamu mata dengan pemandangan bintang bimasakti seawal 9 malam.

Lebih mengujakan kami dapat merasai pengalaman menangkap ketam.

Pada hari kedua, kami memulakan seawal 8 pagi dengan menaiki bot untuk melawat beberapa lokasi yang membentuk lagenda Supirak iaitu Pulau Supirak, Batu Berunsai, Batu Tandulang dan Batu Talam.

Keunikan Pulau Supirak adalah terbentuk daripada formasi batuan besar yang kelihatan seakan-akan bentuk kapal.

Penulis difahamkan mengikut cerita, pulau itu terjadi berikutan sumpahan seorang ibu kepada anaknya yang derhaka.

Malah pulau kecil Batu Berunsai dan Batu Tandulang serta tiga batu terapung iaitu Batu Talam turut dikatakan terhasil akibat daripada sumpahan itu.

Selesai saja kunjungan ke beberapa lokasi ini dengan menaiki bot, kami kembali ke rumah rehat dan bersiap sedia untuk bergerak kembali ke Kota Kinabalu.

Ia menjadi pengalaman yang berharga dengan mengunjungi kampung nelayan yang agak jauh dari pusat bandar, menemui lagenda seakan kisah Si Tanggang namun memiliki keunikannya yang tersendiri.

Lokasi bersejarah ini boleh menjadi salah satu produk tarikan komuniti pelancongan tempatan dan kita perlu menarik minat lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 7:00 AM