KONSERT membabitkan kumpulan Wings antara persembahan artis tempatan yang ‘paling laris’ sepanjang tahun lalu sebelum ahli kumpulan itu berehat sebentar untuk menunaikan umrah.
KONSERT membabitkan kumpulan Wings antara persembahan artis tempatan yang ‘paling laris’ sepanjang tahun lalu sebelum ahli kumpulan itu berehat sebentar untuk menunaikan umrah.
Syafil Syazwan Jefri

Sedar tak sedar, kita semua kini melangkah ke tahun 2023, menutup buku lama 2022 dan membuka lembaran baharu dengan pelbagai perancangan serta azam.

Tahun 2022 menyaksikan industri seni tanah air 'hidup' semula selepas 'dimatikan' buat seketika.

Ada yang berjaya mengekalkan momentum kegemilangan dan tidak kurang juga yang kecundang dek pandemik, sekali gus memaksa mereka untuk merangkak semula untuk mencipta nama.

Perkembangan positif dapat dilihat dari pelbagai cabang seni - seni lakonan, dunia perfileman, pementasan teater, muzik, bahkan seni kebudayaan, semuanya semakin bertambah baik.

Sebagai individu yang memerhati industri dari satu sudut, saya percaya, 2023 akan menjadi tahun yang lebih gemilang buat semua pengkarya dan anak seni.

Ada beberapa pendapat yang ingin saya lontarkan mengenai perkembangan industri mengikut pecahan cabang seni yang saya rasa, sesuai untuk disentuh.

Pertama, mengenai dunia perfileman tanah air. Tahun 2022 menyaksikan kebangkitan semula filem tempatan sehingga ada yang mencatat jumlah keuntungan yang sangat lumayan contohnya, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Dalam tahun ini, saya berharap agar lebih banyak karya berkualiti dihasilkan contohnya, filem-filem yang berkualiti bukan sahaja dari sudut jalan cerita, tetapi juga penggunaan teknologi serta teknik pengarahan.

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) juga sebelum ini pernah berkongsi mengenai rancangan mereka untuk menambah baik bidang pengarahan.

Mereka ingin mencari dan mencungkil bakat pengarah-pengarah baharu yang berkualiti dan pada masa sama, membantu memajukan bidang pengarahan dengan menawarkan bimbingan untuk penggunaan kesan khas dalam karya filem.

Secara tidak langsung, usaha itu juga mungkin menjadi satu langkah untuk melahirkan lebih banyak pengarah hebat seperti Syamsul Yusof, yang mana, berjaya membuka mata ramai peminat filem tanah air dengan menggarap filem-filem hebat seperti KL Gangster, Munafik, Mat Kilau dan sebagainya.

Kalau mengenai drama pula untuk tayangan di televisyen (TV) pula, saya rasa, semuanya sudah cukup dari segi kandungan serta kumpulan peminat.

Drama sedia ada sememangnya sudah cukup berkualiti jika kita lihat dari sudut 'kandungan untuk penonton sasaran'. Dalam kata lain, setiap genre drama yang dipaparkan di TV, ada kumpulan penonton sasarannya yang tersendiri.

Saya yakin, setiap penerbit dan pengarah yang menghasilkan drama TV tahu, siapa penonton mereka dan apa yang penonton mereka mahukan.

Begitu juga dengan pementasan teater, yang mana saya berasakan ia kembali 'hidup' bukan sahaja di pentas besar, tetapi juga di pentas-pentas kecil.

Dari sudut muzik, tahun 2022 merakamkan pelbagai kejayaan buat ramai pemuzik dan penyanyi. Bahkan, konsert-konsert yang dianjurkan oleh pemuzik tempatan juga mendapat sambutan yang luar biasa.

Cumanya, tahun lalu, kita dapat melihat terlalu banyak pemuzik dari negara jiran yang hadir mengadakan konsert. Pada pandangan saya secara peribadi, ia kelihatan tidak seimbang.

Ya, saya tidak menafikan bahawa ia juga adalah satu perkembangan positif untuk industri muzik dan turut menjana ekonomi, namun, mungkin 2023 patut membuka lebih banyak ruang kepada artis tempatan untuk mengadakan konsert.

Ini sekadar beberapa pendapat saya untuk menambah baik industri seni tanah air dalam tahun ini dan di masa akan datang.

Yang pasti, semoga tahun 2023 ini menjadi tahun yang lebih baik buat kita semua, tidak kiralah dalam apa juga bidang mahupun sektor.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 7:00 AM