Zizan Razak
Zizan Razak
Ramlah Zainal

 

Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak terkenal, Zizan Razak mengakui dia tidak berasa tergugat dengan kemunculan ramai hero baharu yang mewarnai industri seni tanah air, ketika ini.

Kata Zizan, dia juga tidak menganggap kemunculan hero baharu seperti Meerqeen, Nadhir Nasar, Amir Ahnaf, Mierul Aiman menutup periuk nasi pelakon berpengalaman sepertinya.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah S.W.T  kerana masih mendapat kepercayaan dari penerbit dan pengarah untuk beraksi sebagai hero dalam drama dan filem sampai sekarang.

"Saya tidak tergugat pun dengan kemunculan mereka kerana percaya pada rezeki masing-masing," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai persaingan pula, kata Zizan, dia lebih suka melihat kemunculan bakat baharu dari sudut yang positif.

"Saya gembira melihat kemunculan ramai hero baharu kerana nama mereka tengah naik dan menjadi pilihan penerbit dan pengarah drama dan filem ketika ini.

"Kalau cemburu pun dari sudut positif di mana kita perlu cari apa yang pelakon baharu itu tidak ada," katanya.

Bagaimanapun, kata Zizan, peminat sekarang sudah bijak menilai dan menghargai pelakon berpengalaman seperti industri perfileman di Hollywood.

"Walaupun ada hero baharu seperti Meerqeen, artis senior seperti Datuk Rosyam Nor, Bront Palarae, Shaheizy Sam dan Datuk Aaron Aziz masih menjadi pilihan penerbit untuk watak hero dalam industri perfileman sekarang.

"Tapi pelakon lama kena ingat, mereka perlu menjaga kualiti lakonan dan pastikan prestasi yang terbaik ditampilkan dalam lakonan untuk kekal relevan dalam industri seni.

"Pada masa sama, saya sendiri pun masih lagi belajar ilmu lakonan dan terus berusaha untuk memantapkan prestasi sedia ada," katanya yang mula berkecimpung dalam bidang seni sejak 2007 dan sudah melangkah pengarahan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 12:40 PM