RAZALI (kiri) melawat Murali (kanan) yang kini berehat di rumah. FOTO Facebook Razali Hussain
RAZALI (kiri) melawat Murali (kanan) yang kini berehat di rumah. FOTO Facebook Razali Hussain
Norhayati Nordin


"MEMANG menjadi hasrat saya sebelum meninggal dunia, mahu menabur ilmu dan pengalaman dimiliki dalam asas lakonan serta pengarahan kepada generasi penggiat seni baru," kata pengarah drama berkaliber, Murali Abdullah.

Murali, 55, kini masih berehat di rumah untuk proses pemulihan kesihatannya selepas mengalami serangan angin ahmar pada November tahun lalu.

Katanya, meskipun sedikit nikmat kesihatan diri sudah ditarik oleh Allah SWT tetapi otaknya masih dapat berfungsi dengan baik.

"Saya sekarang adalah orang kurang upaya (OKU) tangan dan kaki kerana bergerak menggunakan kerusi roda, tetapi Alhamdulillah, otak masih sihat.

"Syukur juga kerana serangan angin ahmar dialami tujuh bulan lalu, hanya mengakibatkan saya hilang upaya pada tangan dan kaki sahaja.

"Manakala, otak saya masih baik dan sihat. Jadi, dengan ada sisa hidup yang berbaki ini saya ingin menabur ilmu sebelum menutup mata," katanya.

Pengarah drama Jejak Karmila itu berkata, dia sangat berharap semoga ada pihak berminat sudi menjalin kerjasama untuk merealisasikan impian murninya itu.

"Dalam Islam pun menyarankan selagi hidup, wajar untuk ilmu dimiliki berserta pengalaman dikongsi dengan orang lain.

"Saya mahu melakukannya, cuma tidak ada platform yang harus dituju. Jika pihak berkenaan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mahu membantu merealisasikan hasrat ini, saya amat bersyukur," katanya.

Berbicara mengenai aktivitinya dalam tempoh berehat itu, Murali berkata, dia banyak menonton program televisyen dan menerima kunjungan rakan.

"Sesungguhnya rezeki ini datangnya daripada Allah. Walaupun saya kini sakit dan tidak boleh bekerja, Alhamdulillah masih ada rakan yang sudi melawat dan membantu.

"Saya cekal dan tabah menghadapi ujian ini kerana dugaan sakit dihadapi banyak memberi kesedaran pada kelekaan lalu," katanya.

Tetap bersemangat waja untuk terus berusaha memartabatkan industri karya kreatif negara, Murali memberitahu dia juga berhasrat mengarahkan sebuah filem bergenre keagamaan.

"Saya bercadang jika mendapat peluang dan kesempatan mahu menghasilkan filem keagamaan berjudul Bilal yang mengangkat golongan mualaf.

"Saya sudah ada skripnya yang diilhamkan daripada pengalaman sendiri termasuk rakan mualaf lain untuk diketengahkan pada masyarakat," katanya.

Terdahulu, pelakon Razali Hussain menerusi entri dimuat naik dalam laman Facebook (FB) miliknya menulis dia berkunjung ke rumah Murali pada 30 Jun lalu menziarahi pengarah berkenaan.

Razali turut berkongsi tahap kesihatan terkini Murali yang semakin pulih dan dijangka dua bulan lagi akan bergiat aktif kembali.

Selain itu, Razali juga berkongsi luahan hasrat Murali yang mahu berbakti mendidik generasi baru berminat dalam lakonan dan ilmu pengarahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 7:29 PM