GAMBIT akui tidak boleh pentingkan kemahuan sendiri dalam industri.
GAMBIT akui tidak boleh pentingkan kemahuan sendiri dalam industri.
Georgie Joseph


Nama Gambit Saifullah atau Mohd Saifullah Rosli, 32, suatu ketika dulu begitu mekar dalam bidang seni. Entah kenapa, dia tiba-tiba senyap seketika daripada radar hiburan membuatkan ramai tercari-cari.

Ditemui baru-baru ini, Gambit ternyata ada sebab tersendiri kenapa dia berbuat demikian. Bukan mahu menjauhkan diri sebaliknya dia perlukan masa untuk menentukan hala tujunya dalam kerjaya seni.

Menurutnya, dia tidak pernah mengetepikan dunia lakonan tetapi perlukan strategi untuk mengukuhkan nama dan dia sudah temui apa yang dicari dan terbaik untuknya.

“Dulu saya terlalu mengikut perasaan, hanya memilih karya yang berorientasikan seni saja kerana jiwa saya lebih ke arah hasil karya seperti itu berbanding yang bersifat komersial atau santai.

“Bagaimanapun, selepas beberapa tahun mengkaji industri, baru saya faham kita tidak boleh mementingkan kemahuan sendiri saja. Hiburan itu luas dan ia bukan saja seni tetapi tuntutan pasaran juga perlu diambil kira.

“Maka kini saya lebih terbuka dengan setiap tawaran yang datang apabila kedua-duanya ada kepentingan dengan drama berat untuk kepuasan diri dan drama ringan pula untuk pasaran komersial,” katanya.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna Gambit mahu cuba mengubah dirinya dengan hanya mengikut trend. Mana tidaknya, sekarang kebanyakan hero terutama pendatang baru cuma bersandarkan susuk tubuh menarik dan kacak.

Menurutnya, dia lebih memilih untuk mengikut trend yang lebih menonjolkan dia sebagai pelakon serba boleh. Itu bermakna, dia juga selesa dengan penampilannya sekarang tanpa terlalu membentuk tubuh menjadi sasa.

Katanya, dia pernah melakukan semua itu dulu dan tiada kepentingan untuknya bertubuh ‘sado’. Penekanan watak lebih penting dalam memberikan lakonan terbaik.

“Saya faham ketrampilan sangat membantu untuk kelihatan sentiasa menarik di skrin. Awal dulu, saya pun menitikberatkan aspek itu kerana belum faham hala tuju diri sebagai pelakon tetapi sekarang terbukti kekuatan karakter dan permainan watak dengan cemerlang lebih penting. Saya mahu jadi pelakon yang memberi impak kepada lakonan.

“Namun saya sedia untuk mengubah fizikal jika watak itu menuntut berbuat demikian. Ia adalah tanggungjawab pelakon untuk memenuhi kehendak skrip dan watak,” katanya.

Mencuri perhatian penonton menerusi wataknya dalam siri Isteri Tuan Ihsan, Gambit berjanji tampil lebih kerap tahun ini. Pada masa sama, dia tetap fokus kepada bidang pengarahan.

“Lakonan adalah keutamaan sekarang namun saya tidak boleh lupakan bidang pengarahan. Ia sebahagian daripada tanggungjawab saya kepada penonton kerana mengenali cara saya, konsep rancangan diterbitkan sentiasa segar,” katanya yang pernah menerbitkan rancangan The Hoppers dan Ahli Muzik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 5:04 AM