ISTANA Negara
ISTANA Negara
Noor Mohamad Shakil Hameed

ANTARA, tujuh wasiat Raja-Raja Melayu berbunyi: "Kami tetapkan Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu." Manakala Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 pula memperuntukkan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran negara. Walaupun kedudukan bahasa Melayu di negara ini cukup jelas, perkara sering menjadi perdebatan dan persoalan ialah sejauh mana ketetapan ini dihayati dan dilaksanakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Ironinya, sebagai warganegara kita bertanggungjawab sepenuhnya untuk mempertahankan kedudukan bahasa Melayu di samping terus memperkasa penggunaannya mencakupi segenap urusan harian, khususnya dalam urusan rasmi. Tapi malangnya sehingga kini kita masih bergelut untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan angkara sikap kita sendiri yang tidak mempedulikan nasib dan kedudukannya.

Pada ketika ini, kita dapat lihat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersungguh-sungguh mahu memartabatkan kedudukan bahasa Melayu khususnya di peringkat antarabangsa terutamanya dengan cara menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi di luar negara. Pengumuman bahawa kerajaan juga akan menumpukan usaha menguatkuasakan bahasa Melayu di negara ini termasuk dengan meminda Akta DBP bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang melakukan pelanggaran bahasa Melayu disambut baik semua pihak.

Jadi, iltizam dan komitmen yang dizahirkan oleh Perdana Menteri ini perlu disambut oleh seluruh rakyat Malaysia kerana pada akhirnya kita yang akan menentukan nasib bahasa kebangsaan kita sendiri. Sama ada bahasa ini terus berkembang dan mekar baik dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa atau dibiarkan layu terletak di tangan kita sendiri.

Memandangkan pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri sendiri cukup serius mahu mengangkat kedudukan bahasa Melayu maka inilah masanya untuk kita sebagai warganegara berganding bahu menunaikan tanggungjawab dalam soal menjaga, memelihara dan memartabatkan survival dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan juga bahasa antarabangsa.

Antara tanggungjawab penting kita pada ketika ini adalah menyokong penuh segala usaha, langkah dan inisiatif yang sedang dan bakal dilaksanakan oleh Perdana Menteri dan kerajaan bagi memartabatkan kedudukan bahasa Melayu. Antara iltizam kerajaan untuk meningkatkan martabat bahasa melayu di peringkat negara dan dunia ialah, menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua Asean, pelaksanaan program Diplomasi Kebudayaan yang turut mencakupi unsur pengembangan bahasa melayu di persada dunia dan rancangan untuk meminda Akta DBP serta langkah untuk mewajibkan pelajar asing mengikuti kursus bahasa Melayu.

Justeru, kita perlu bersatu padu dan menyokong penuh rancangan kerajaan ini kerana sudah mula kedengaran suara-suara sumbang dan sinis sesetengah pihak yang memperkecilkan usaha kerajaan dan beranggapan sudah ketinggalan zaman. Sikap kelompok ini cukup dikesali dan tidak wajar untuk mana-mana pihak mempersoal mahupun mempertikaikan usaha murni dan berani kerajaan ini. Misalnya, kita perlu yakin dan percaya dengan kekuatan serta kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua Asean.

Seterusnya kita juga perlu sentiasa menghormati dan menerima pakai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Punca kuasa ini akan menjamin dan memastikan kelestarian survival bahasa Melayu. Hakikatnya, perkara ini sudah cukup jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, maka ia bukan saja tidak boleh dipertikai malah sewajarnya kita menjunjung apa yang terkandung dalam Perlembagaan. Kita sedar pihak-pihak tertentu cuba menidakkan perkara ini terutamanya dengan cara memperkecilkan keupayaan bahasa Melayu. Ingat, bahasa adalah lambang identiti dan kedaulatan sesebuah negara dan bangsa yang merdeka.

Di samping itu, kita juga perlu mengelak segala bentuk pencemaran bahasa seperti penggunaan bahasa pasar dan rojak dalam perbualan harian. Ini satu lagi tanggungjawab penting seluruh anggota masyarakat kerana sikap kita selama ini menyebabkan berlaku pencemaran bahasa yang cukup serius. Baik orang Melayu, Cina mahupun India perlu memikul tanggungjawab secara bersama untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu betul. Jangan jadikan bahasa rojak dan pasar sebagai sesuatu amalan yang lumrah sebaliknya perlu sedar ia satu bentuk tindakan yang mencemar dan tidak menghormati bahasa kebangsaan.

Selain itu, sikap kita yang lebih suka menggunakan bahasa Inggeris dalam pelbagai urusan rasmi seperti mesyuarat, bengkel dan forum walaupun semua pesertanya orang Malaysia juga tidak sewajarnya berlaku. Persoalan penting di sini ialah kenapa perlu malu untuk bercakap atau berucap dalam bahasa Melayu? Sedarlah bahawa tindakan kita seperti itu secara tidak langsung merendahkan martabat dan keupayaan bahasa Melayu dan jika dibiarkan ia akan 'membunuh' peranan bahasa Melayu secara perlahan-lahan.

Walaupun kedudukan bahasa Melayu terjamin kerana diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan, kita tidak boleh terlalu selesa dengan kedudukan itu. Kita perlu sedar adanya ancaman terhadap kedudukan tersebut di samping tahap keseriusan pencemaran yang sedang merosakkan bahasa Melayu.

Justeru, inilah masanya untuk kita mengubah sikap dan bertindak sebagai warganegara yang bersedia untuk bangkit mempertahankan kedudukan bahasa Melayu. Jika tidak jangan menyesal kelak andai satu hari nanti anak cucu kita hanya dapat membaca dalam buku sejarah bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa kebangsaan Malaysia. Sama-samalah kita bermuhasabah dan renung-renungkan perkara ini demi survival bahasa Melayu yang akan menelusuri kegemilangan bangsa dan negara ini.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 5:59 AM