GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Syah Rul Aswari Abdullah

Baru-baru ini, penulis menonton satu video di TikTok menunjukkan luahan hati seorang pengguna TikTok mengenai pandangannya mengenai layanan pihak hotel apabila dia berbahasa Melayu.

Menurut wanita berkenaan, dia pada mulanya menghubungi sebuah hotel untuk menempah penginapan untuk ahli keluarga.

Apabila memulakan perbualan dalam bahasa Melayu, pihak hotel seakan endah tak endah dalam melayan pertanyaannya. Maka, dia menukar dengan bercakap dalam bahasa Inggeris.

Sebaik berbuat demikian, dia mendapati bahawa layanan pihak terbabit bertukar 100 peratus. Dakwanya, kakitangan terbabit melayannya dengan lebih baik apabila dia bertutur dalam bahasa Inggeris.

Menurut wanita itu, situasi sama pernah dialami apabila cuba membuat tempahan di restoran mewah. Apabila berbahasa Melayu, kakitangan seakan-akan tidak berminat untuk melayan pertanyaannya.

Ada ketikanya, pihak restoran akan memberitahu bahawa restoran itu sudah ditempah penuh. Namun, apabila sekali lagi membuat panggilan dan bertanyakan dalam bahasa Inggeris, mudah pula untuk membuat tempahan di venue sama.

Sedangkan wanita terbabit bukanlah tidak tahu berbahasa Inggeris. Sebaliknya, dia sering memuat naik video yang mengajar cara bertutur dalam bahasa Inggeris dengan betul.

Pengalaman wanita ini bukanlah perkara baharu. Pasti ramai dalam kalangan kita pernah juga mengalaminya apabila membuat pertanyaan terutamanya di penginapan lima bintang.

Cuba anda hubungi mana-mana hotel atau restoran mewah dan mulakan perbualan dengan bahasa Melayu. Di tengah-tengah perbualan, tukar penggunaan bahasa kepada bahasa Inggeris.

Anda akan perasan bahawa tona suara dan layanan petugas terbabit sedikit sebanyak akan berubah. Sedangkan, kita ini tinggal di Malaysia yang bahasa rasminya adalah bahasa Melayu.

Masalah ini, sebenarnya, disebabkan sikap segelintir orang Melayu itu sendiri. Ramai yang gemar melabel bahawa seseorang yang bertutur dalam bahasa Inggeris, sebagai golongan berpendidikan tinggi atau 'golongan berduit.'

Hal ini, tidak lain tidak bukan, berpunca daripada tiada jati diri yang kuat sebagai orang Melayu. Apa-apa sahaja yang berbaur Barat, maka ia akan dianggap sebagai moden.

Mungkin atas sebab sama, generasi hari ini sudah lama meminggirkan nama-nama Melayu untuk bayi mereka. Apa sahaja yang berbunyi Melayu akan dianggap sebagai 'kekampungan'.

Maka, lahirlah pelbagai nama yang dianggap moden, tetapi sebenarnya jika diamati 'lebih kampung' daripada nama biasa. Ada juga yang 'terlalu mencuba' dengan nama moden sehingga nama anak sudah seperti nama penyanyi dangdut.

Masalah jati diri ini juga, amat mudah dilihat menerusi penggunaan bahasa oleh pengguna media sosial di negara ini.

Lebih memalukan apabila seseorang berbangsa Melayu yang lahirnya di Malaysia, secara terus-terang mengakui tidak fasih berbahasa Melayu.

Jika tidak percaya, layari sahaja YouTube, dan anda boleh saksikan beberapa pempengaruh yang juga daripada golongan Melayu bandar memuat naik video menunjukkan mereka melakukan cabaran bertutur bahasa Melayu selama 24 jam.

Apa yang menghairankan penulis, kebanyakan daripada mereka adalah Melayu tulen dan bukannya mempunyai bapa atau ibu yang berbangsa asing.

Penulis juga hampir 100 peratus yakin bahawa mereka ini yang mendakwa golongan 'bandar' ini juga adalah pelajar cemerlang ketika menduduki Sijil Pelajaran Malaysia.

Lihat pula majlis perkahwinan orang Melayu d bandar pada masa ini. Ya, kebanyakannya masih mengetengahkan adat Melayu. Namun, sedikit ralat apabila tuan rumah memilih untuk menyampaikan ucapan dalam bahasa Inggeris.

Hal ini, tidak pernah penulis alami ketika di negara asing. Negara luar, benar-benar memartabatkan bahasa ibunda dalam majlis rasmi.

Tidak perlu melihat negara Barat, lihat sahaja di negara jiran, Thailand. Acara rasmi, biarpun dihadiri media asing dari seluruh dunia, masih dikendalikan dalam bahasa kebangsaan.

Turki yang berusaha keras untuk cuba menganggotai blok Kesatuan Eropah pun amat berbangga dengan bahasanya.

Tetapi, jangan tersilap, penulis tidak menyangkal mengenai kepentingan bahasa asing seperti bahasa Inggeris. Iia adalah bahasa antarabangsa yang perlu dikuasai kerana penggunaannya yang meluas di seluruh dunia.

Namun, sudah tiba masanya, orang Melayu sendiri menukar persepsi terhadap penggunaan bahasa Melayu di dalam negara. Ia perlu bermula dengan perubahan sikap orang Melayu yang berbangga apabila fasih berbahasa Melayu.

Hakikatnya, bahasa mencerminkan bangsa. Tiada yang lebih baik untuk menzahirkan jati diri dan keperibadian sesuatu bangsa selain pembudayaan masyarakat terhadap bahasa ibundanya.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 7:00 AM