PROF Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong
PROF Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Penggunaan bahasa Melayu secara meluas dalam program mahupun pendidikan di negara ini perlu dilaksanakan kerana ia dapat menyerlahkan identiti Malaysia.

Ia juga selaras ketetapan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Walaupun bahasa Melayu masih digunakan dalam situasi tertentu dan dipertuturkan pelbagai bangsa, kalangan yang mengangkat bahasa Melayu dalam penggunaannya semakin mengecil.

Perkara itu bagi pakar bahasa, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, berlaku disebabkan peranan penting bahasa Melayu diambil alih satu persatu oleh bahasa Inggeris.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, bahasa Melayu mula beralih daripada bahasa besar yang penting menjadi bahasa kecil dan tidak penting.

"Kita dapat lihat sesetengah kementerian mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris dalam menamakan program tertentu seperti Food Bank, FitMalaysia, kenapa tidak guna bahasa Melayu sepenuhnya.

"Dalam kita menegur sektor swasta yang tidak begitu terikat dengan bahasa Melayu kerana ada antaranya syarikat antarabangsa, sektor awam harus menunjukkan teladan yang baik.

"Begitu juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menggunakan bahasa Inggeris dalam majlis diadakan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada agensi kerajaan, GLC dan swasta kerana lebih mengutamakan Bahasa Inggeris dalam majlis, mesyuarat, persidangan, projek dan produk mereka.

Perdana Menteri meminta supaya Bahasa Melayu digunakan dalam program yang dianjurkan dengan meluas dan menjadi peranan rakyat Malaysia untuk memastikan Bahasa Melayu terus berkembang.

Kok Seong berkata, Perdana Menteri mengangkat dengan lebih tegas peranan bahasa Melayu apabila menyebut siapa lagi boleh mengangkat Bahasa Melayu melainkan rakyat Malaysia sendiri.

Menurutnya, sikap masyarakat Melayu sendiri menjadi halangan untuk memartabatkan bahasa Melayu sedangkan mereka sepatutnya menjadi teladan untuk dicontohi bukan Melayu.

"Dalam hal memartabatkannya, seorang Melayu tidak boleh mempertikai kemampuan bahasa Melayu untuk memandaikan anak bangsa dalam pendidikan dan memajukan negara.

"Jika orang Melayu selaku penutur nenek moyang tiada keyakinan terhadap bahasa sendiri, ini tentunya akan mempengaruhi bukan Melayu yang rata-ratanya tidak menerima bahasa Melayu dengan seadanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 3:05 PM