DR Teo tidak menolak kemungkinan bahasa Melayu boleh pupus jika penggunaan bahasa lain lebih diutamakan dalam majlis formal. FOTO Arkib NSTP.
DR Teo tidak menolak kemungkinan bahasa Melayu boleh pupus jika penggunaan bahasa lain lebih diutamakan dalam majlis formal. FOTO Arkib NSTP.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Bahasa Melayu akan mengalami kepupusan sekiranya trend penggunaan bahasa lain lebih diutamakan dalam mana-mana acara formal, terutama program anjuran agensi kerajaan.

Pakar bahasa, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, bahasa Melayu akan pupus dalam bentuk anjakan kepada bahasa lain.

"Bahasa Melayu akan beralih daripada bahasa penting kepada bahasa kecil apabila peranannya diambil alih oleh bahasa lain antaranya bahasa Inggeris dan Mandarin.

"Ini sudah tentu tidak bagus untuk negara kita terutama generasi akan datang," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas penganjuran banyak majlis termasuk program agensi kerajaan mengabaikan bahasa Melayu apabila menggunakan bahasa lain.

Mengulas lanjut, Teo yang juga Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) berkata, penggunaan bahasa lain dalam acara rasmi dianjurkan agensi kerajaan memang trend salah dan tidak sepatutnya berlaku.

"Sepatutnya lebih-lebih lagi agensi kerajaan perlu memartabatkan bahasa kebangsaan dengan menggunakannya dalam mana-mana acara dianjurkan.

"Apatah lagi, ini memang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) selain Pekeliling Pemerkasaan Penggunaan bahasa kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam pada 2020," katanya.

Justeru, katanya agensi kerajaan seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada pihak lain apabila mengutamakan bahasa Melayu dalam penganjuran majlis atau program mereka.

"Jelas tiada alasan lagi mereka perlu memperbaiki keadaan ini dengan mematuhi peraturan yang sudah termaktub dalam perlembagaan dan peraturan sedia ada bagi memartabatkan bahasa Melayu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 12:57 PM