KECEMERLANGAN organisasi bergantung kepada kecekapan pentadbir dalam mengurus. Kaedah pengurusan yang cemerlang memerlukan kepada pentadbir yang bijak dalam merancang, bertindak, mengenalpasti masalah, mengemukakan jalan penyelesaian, mengurus kewangan dengan berhemah, menjaga kebajikan pekerja dan sentiasa memiliki iltizam dan komitmen terhadap organisasi. Hal ini selari dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah 'Azza Wa Jal kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun." (Hadis Riwayat Al-Thobrani)
Selain itu, setiap pentadbir yang dilantik khususnya ke peringkat jawatan tertinggi mestilah mempunyai kelayakan yang mantap dan mempunyai keberhasilan yang luar biasa sesuai dengan gaji yang diperoleh. Hasil pencapaian merupakan penanda aras terhadap kemampuan luar biasa bagi seorang pentadbir dalam membawa kecemerlangan organisasi. Tuntutan ini selaras dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Allah kasih kepada pekerja (yang melakukan sesuatu amalan) yang apabila dia melakukan sesuatu amalan hendaklah melakukannya dengan baik." (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)
Adalah sangat malang jika pentadbiran yang mengurus organisasi dipilih dalam kalangan kroni semata-mata tanpa melihat kepada aspek pencapaian dan keberhasilan luar biasa sehingga membawa kepada satu anjakan paradigma. Keberhasilan merupakan elemen yang boleh dijadikan penilaian yang telus sama ada hasil tersebut mempunyai impak terhadap organisasi, masyarakat, negara mahupun diperingkat antarabangsa. Untuk itu, penilaian awal dan ketelusan memainkan peranan yang sangat penting dalam memilih dan seterusnya melantik calon yang layak mengemudi sesebuah organisasi dengan cemerlang. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah." (Surah Al-Qasas, ayat 26)
Kewujudan pelbagai isu seperti ketirisan, rasuah, salah guna kuasa, amalan kronisme, nepotisme dan sebagainya merupakan satu ancaman besar terhadap pengurusan organisasi. Isu ini sebenarnya telah banyak merubah persepsi masyarakat terhadap keupayaan seseorang yang diberi amanah untuk mentadbir sesebuah organisasi. Tambahan pula, jika pihak pengurusan dilihat gagal berfungsi dalam menjaga kebajikan pekerja serta mengutamakan kaedah pilih kasih di dalam organisasi menyebabkan sebahagian pekerja yang layak dan mempunyai bakat dinafikan haknya serta akhirnya melemahkan moral pekerja bawahan. Islam sangat menjaga hal kebajikan pekerja sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Terdapat tiga golongan yang akan menjadi musuh-Ku pada Hari Kiamat (salah satunya ialah) orang yang mempekerjakan orang lain, namun setelah orang tersebut memenuhi tugasnya, upahnya tidak dibayarkan." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Dalam mengurus organisasi dengan cemerlang, perlunya sikap ketelusan dan amanah yang tinggi. Seseorang yang terpilih untuk menanggung jawatan tertinggi merupakan amanah bukannya keistimewaan. Hal ini adalah selari dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)." (Surah An-Nisa', ayat 58). Memegang jawatan tertinggi memerlukan sikap mengutamakan kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi. Setiap pentadbir sesebuah organisasi perlu mempamerkan contoh teladan yang terbaik supaya ia akan sentiasa menjadi contoh kepada pihak pelaksana. Seseorang pentadbir yang mengurus organisasi bukan sahaja cemerlang dalam menghasilkan pencapaian luar biasa bahkan mempunyai ketokohan sehingga dihormati oleh peringkat bawahan.
Dalam mendepani pelbagai cabaran pada masa kini, setiap pentadbir perlu bersedia dari sudut mental dan fizikal bagi menyempurnakan misi dan visi yang telah ditetapkan. Sudah semestinya pentadbir di dalam organisasi sudah bersedia dengan pelbagai kerangka idea dan mempunyai ketepatan dalam bertindak. Kegagalan menyelesaikan misi dan visi yang telah pun ditetapkan hanya menyebabkan banyak perkara yang telah dibazirkan seperti masa, tenaga, dana peruntukan dan lain-lain lagi. Akhirnya, menyebabkan persepsi masyarakat awam hilang keyakinan terhadap kewibawaan sesebuah organisasi.
Justeru, dalam memastikan organisasi dapat menghasilkan kecemerlangan maka semua pihak perlu sedar akan tanggungjawab yang diberikan bermula dari pihak atasan sehinggalah peringkat bawahan. Kecemerlangan organisasi sangat bergantung kepada kebijaksanaan pentadbir dalam mengurus dan memimpin organisasi. Begitu juga di peringkat pelaksana, perlunya kepada kesungguhan dan ketekunan dalam memastikan matlamat yang telah dirancang dapat dicapai sebaik mungkin.
Sebagai kesimpulannya, mengurus organisasi dengan cemerlang memerlukan komitmen semua pihak. Kejayaan yang diperoleh akan menambah persepsi masyarakat awam terhadap kemampuan organisasi dalam mengurus. Kepemimpinan perlu diberikan kepada mereka yang layak dan amanah bagi menggalas misi dan visi sesebuah organisasi. Kecemerlangan bagi sesebuah organisasi akan menjadi satu legasi dalam lipatan sejarah yang akan dikenang sepanjang zaman.
Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis