GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Sering kali kita dengar dalam sesebuah organisasi atau jabatan atau persekitaran kita bekerja mengenai ada sikap tidak baik berlaku.

Naluri hati manusia bukan semua baik dan boleh diharap, lebih-lebih lagi untuk setia dan membawa nama baik organisasinya, tidak kira ia berlaku dalam sesebuah organisasi kerajaan atau swasta.

Boleh dikatakan ada yang akan membentuk kumpulan sendiri bagi melindungi kepentingannya. Boleh dikatakan dalam ayat yang paling mudah, 'geng jahat dan geng baik'.

Pembentukan kumpulan sebegini sering terjadi dalam persekitaran tempat kita bekerja. Puncanya adalah pelbagai seperti sikap ketua yang tidak mangambil berat keadaan kedududukan dan objektif organisasi atau jabatannya yang membawa kepada kejadian seumpama ini atau pemimpin terlepas pandang dan hanya mengambil jalan mudah dengan mementingkan diri sendiri sahaja dalam organisasi atau jabatan itu.

Malah, sering berlaku sikap pilih bulu apabila pemimpin hanya menyebelahi sesuatu pihak atau individu sahaja. Tetapi, paling terkesan dalam persekitaran suasana kerja adalah sikap rasis atau perkauman.

Rasisme (bahasa Inggeris: racism) adalah suatu bentuk kepercayaan, sikap dan amalan yang mendiskriminasi segolongan manusia berdasarkan ciri-ciri perkaumannya.

Pada dasarnya, kepercayaan ini mengandaikan bahawa manusia boleh dibahagikan kepada kaum yang berbeza dan serentak itu, ia mengandaikan nilai serta darjat seseorang boleh ditentukan berdasarkan kaum yang diwakilinya.

Dalam bahasa Melayu, konsep rasisme sangat berkaitan dengan perkauman dan semangat assabiyah. Fahaman rasisme sentiasa membawa kebinasaan kepada manusia.

Pada kebanyakan masa, rasisme akan membabitkan permusuhan terhadap kaum tertentu. Daripada itu, fahaman ini akan menghasilkan amalan seperti diskriminasi, pengasingan kaum serta pembasmian kaum.

Jenis rasisme boleh dibahagikan kepada berikut:

• Rasisme individu. Amalan rasisme yang dilakukan orang perseorangan.

• Rasisme struktur. Amalan rasisme yang dijalankan melalui institusi sosial seperti perundangan dan pendidikan.

• Rasisme ideologi. Amalan rasisme yang disokong oleh justifikasi bersistem. Contohnya, kaum X menganggap dirinya lebih unggul kerana mereka daripada keturunan dewa Y, menurut agama Z.

• Rasisme berbalik. Amalan rasisme yang tercetus sebagai reaksi kepada rasisme. Contohnya, kaum X memandang rendah kepada kaum Y kerana kaum Y memandang rendah kepada kaum X.

Isu perkauman bukanlah sesuatu yang baharu dalam persekitaran tempat kerja. Perkara seumpama ini sering terjadi apabila kelompok atau kaum tertentu memonopoli jawatan besar atau utama dalam sesebuah organisasi.

Ia akan membawa tanggapan buruk kepada pihak satu lagi dan menjadikan mutu pekerjaan tidak selesa dan akhirnya menjatuhkan sesebuah organisasi itu sendiri.

Namun, yang penting, setiap individu dan sebagai sebuah masyarakat, kita perlu tahu bagaimana untuk menangani diskriminasi melibatkan kaum sekiranya berdepan dengan keadaan sedemikian.

Kejadian berbentuk perkauman adalah satu pengalaman mengejutkan bagi mereka yang menjadi mangsanya dan boleh membuat seseorang rasa terasing.

Untuk mengatasi keadaan sedemikian, ia amat membantu sekiranya individu itu mendapat perlindungan di tempat selamat, komuniti prihatin atau sekadar meluahkan perasaan dan pengalaman kepada seseorang yang boleh dipercayai yang dapat mendengar tanpa membuat penilaian.

Pengalaman rasisme berbeza bagi setiap orang mengikut konteks dan lokasi, bahkan pengalaman individu.

Justeru, kita perlu berhati-hati untuk memberikan definisi tegas tentang bagaimana seseorang itu boleh dianggap rasis atau sama ada seseorang itu adalah mangsa perkauman.

Memelihara keharmonian kaum adalah usaha kolektif dan semua orang memainkan peranan untuk berusaha memahami satu sama lain dengan lebih mendalam sambil menolak sebarang bentuk sikap tidak bertoleransi.

Boleh terjadi hidup kita akan dipenuhi kebencian terhadap kaum lain. Anda akan membenci anggota kaum anda yang berbaik dengan kaum lain. Bagaimanakah kita perlu keluar daripada pemikiran budaya rasis ini?

Apabila anda keluar dari penjara perkauman, minda anda bebas untuk merasai persaudaraan sesama manusia.

Sikap kemanusiaan membuatkan anda melihat kebaikan dan kejahatan bebas daripada sudut kaum. Anda hanya membenci kejahatan!

Untuk berhijrah daripada bersikap perkauman kepada kemanusiaan adalah sukar bagi sesetengah orang. Lebih-lebih lagi apabila melihat kaum sendiri lemah dalam berbagai bidang, khususnya politik dan ekonomi.

Jadi apa saja kemajuan kaum lain dilihat sebagai kegagalan kaum sendiri.

Tidak semestinya isu politik dan ekonomi itu dikaitkan dengan perkauman. Untuk mengaitkan isu politik dan ekonomi memang mudah. Tetapi jika penyelesaiannya pula bersifat kaum maka bertambah dalamlah sikap perkauman.

Sebaliknya, jika sesuatu isu politik dan ekonomi diselesaikan tanpa dikaitkan dengan kaum, ia mengurangkan sikap perkauman.

Tetapi kerapuhan emosi seseorang memang mudah dimainkan dengan sentimen perkauman dan ia akhirnya mendatangkan keburukan. Apabila perasaan kebencian sudah tersemai, segala tindakan akan berlandaskan pada perkauman.

Sementara tindak-tanduk biasa pula turut dilihat daripada sudut perkauman. Akhirnya sikap perkauman ini menjejaskan pembinaan jati diri kebangsaan.

Bagi negara ini, apa yang dimaksudkan dengan kebangsaan ialah kebangsaan Malaysia. Membezakan perkauman dan kebangsaan masih sukar dalam kalangan rakyat Malaysia.

Semoga rakyat Malaysia di bumi bertuah ini dan di alam pekerjaaan berupaya menghapuskan budaya rasis, perkauman atau berpuak-puak.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 7:01 AM