GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Zaini Othman

Pengiktirafan kepada pekerja akan mewujudkan iklim organisasi yang positif, produktif dan inovatif. Selain melihat kepada faktor menjaga kebajikan pekerja yang turut diakui mempengaruhi suasana pekerja di sesebuah organisasi yang didasari dengan pelbagai bentuk pakej kesejahteraan yang diwujudkan oleh majikan seperti perlindungan kesihatan, percutian, kursus latihan ataupun penajaan menyambung pengajian, memberi pengiktirafan juga adalah 'pakej' yang tidak boleh ditinggalkan.

Melalui pengiktirafan yang diberikan, ia sebenarnya menggalakkan lebih banyak tindakan dan merangsang pemikiran seseorang kakitangan untuk mempercayai bahawa dirinya memiliki potensi dan kemampuan untuk terus menyumbang kepada kemajuan dan kejayaan organisasinya.

Pengiktirafan kepada kakitangan secara hakikatnya adalah satu bentuk pengiktirafan kepada kualiti kerja yang ditunjukkan oleh kakitangan berkenaan kerana pekerja yang berkualiti adalah aset utama sesebuah organisasi. Kualiti kerja adalah bagaimana sesuatu kerja itu dilaksanakan dan output daripadanya adakah berjaya memenuhi ekspektasi yang diperlukan.

Di dalam Islam, bekerja adalah suatu amanah yang menuntut kekuatan mental, fizikal dan rohani seseorang. Bekerja di dalam Islam juga adalah perkara yang berkait rapat dengan etika dan moral untuk menghasilkan kerja berkualiti kerana di situlah kerja akan dinilai sebagai ibadah di sisi Allah SWT.

Jika kita melihat definisi kualiti itu sendiri menerusi Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, ia ditakrifkan sebagai darjah kecermerlangan yang pada kebiasaannya adalah tinggi atau bermutu. Kualiti kerja sememangnya amat dititik beratkan di dalam sesebuah pengurusan organisasi kerana tanpanya akan pincanglah fungsi, kemandirian dan kelangsungan organisasi itu.

Tambahan pula jika organisasi berkenaan adalah institusi pendidikan tinggi seperti universiti penulis berkhidmat yang disandarkan padanya pelbagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI), rating mahupun ranking untuk dicapai dalam sekian tempoh tertentu.

Justeru, mempunyai kakitangan berkualiti di semua peringkat pentadbiran dalam setiap jabatan adalah satu dambaan kerana kakitangan yang berkualiti merupakan satu terjemahan kepada kejayaan organisasi berkenaan menghasilkan sumber manusia kelas pertama yang seterusnya menjadi aset berharga untuk kecemerlangan organisasi dalam jangka masa panjang.

Melalui pemerhatian penulis, setiap majikan mempunyai pelbagai pendekatan dalam memberi pengiktirafan kepada kakitangannya dan organisasi kerajaan misalnya memberi pengiktirafan dengan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Universiti penulis juga baru-baru ini selesai menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inovasi 2019 bagi meraikan, menghargai dan lebih utama mengiktiraf warga universiti yang menunjukkan kecemerlangan unggul dalam perkhidmatan.

Melalui majlis itu, bukan sahaja kakitangan yang cemerlang dijemput ke pentas untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan anugerah lain yang setaraf dengannya, malahan kakitangan yang berkhidmat penuh setia kepada universiti sekurang-kurangnya 15 tahun turut diberi pengiktirafan dengan Anugerah Bakti Setia.

Penulis secara peribadi ingin menzahirkan rasa terima kasih kepada pengurusan universiti kerana memilih penulis sebagai penerima Anugerah Pentadbir Harapan Bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional dalam majlis itu.

Sememangnya pengiktirafan akan menaikkan lagi motivasi seseorang kakitangan untuk terus berkreativiti dan berinovasi dalam pekerjaan mereka. Penulis ingin memetik beberapa intipati ucapan oleh Profesor Datuk Dr Siddiq Fadzil, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dalam majlis itu.

Pertamanya beliau menyatakan setiap pekerja secara azalinya dibekalkan dengan inovasi dan kreativiti dalam dirinya dan menjadi tugas dan tanggungjawab pimpinan organisasi itu untuk menggilap setiap kelebihan potensi diri kakitangannya dan seterusnya menjadikan mereka 'bintang'. Justeru, majikan perlu mencari dan menyediakan platform yang bersesuaian untuk melihat setiap kelebihan yang dimiliki kakitangannya dapat diserlahkan.

Perkara kedua yang disentuh adalah penekanan kepada budaya persaingan sesama rakan sekerja perlu wujud dalam sesebuah organisasi. Pada pengamatan penulis, persaingan yang dimaksudkan ini bukan dalam bentuk yang tidak sihat yang selalu dikaitkan dengan terma negatif seperti politik pejabat, kaki kipas, kaki bodek, pengampu dan seumpamanya sehingga membinasakan hubungan sesama kakitangan.

Apa yang mahu dilihat beliau adalah persaingan sihat yang padu dan lebih penting persaingan itu tidak harus dipisahkan dengan elemen kerjasama. Menurut beliau persaingan dan kerjasama itu perlu saling mendukung antara satu sama lain sebagai satu pendekatan competitive cooperative.

Ketiga adalah bagaimana pengiktirafan dan anugerah yang diterima dimaknai dengan tekad dan komitmen kolektif untuk memberi sumbangan dan khidmat bakti lebih besar kepada masyarakat tanpa dibataskan pada kaum, agama mahupun budaya.

Penulis merasakan apabila setiap kakitangan merasakan organisasi mereka mengambil perhatian kepada pentingnya memberi pengiktirafan, ia secara langsung akan membentuk satu nilai baharu kepada kakitangan di organisasi berkenaan iaitu nilai untuk 'lebih memberi' dan 'tidak berkira' sepanjang berkhidmat dengan majikan berkenaan.


Penulis ialah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Usim

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 6:00 AM