REKAAN tidak ada bucu atau tepi yang tajam.
REKAAN tidak ada bucu atau tepi yang tajam.
Nurul Husna Mahmud


SATU aspek yang sering kali diabaikan ibu bapa dalam menghias bilik anak ialah pemilihan perabot bersesuaian.

Ibu bapa juga memikirkan langkah penjimatan apabila memilih menggunakan perabot yang tidak sepadan dengan kanak-kanak.

Tindakan itu bukan sahaja boleh mendatangkan bahaya selain pemilihan perabot tidak sesuai dengan usia atau saiz tubuh anak boleh menyebabkan penggunaan perabot itu sendiri kurang optimum.

Biasanya dalam pembuatan perabot kanak-kanak, syarikat pembuatan menggunakan bahan yang mesra dan sepadan dengan kanak-kanak.

Ini baik segi material sehinggalah kepada bahan kemasan mengikut standard ditetapkan oleh pihak berkaitan.

Justeru dalam pemilihan perabot untuk anak, berikut beberapa ciri-ciri perlu diambil perhatian supaya ia selamat dan boleh menceriakan ruang dalam bilik terbabit.

1. Teliti bajet dan penggunaan perabot

Perabot adalah pelaburan jangka panjang dan itulah sebabnya mesti memilih item yang sesuai dengan penggunaan untuk tempoh yang panjang.

Pada fikiran ibu bapa, perabot dibeli boleh digunakan untuk tempoh beberapa tahun. Tetapi tidak bermakna harus memilih katil bersaiz king untuk bilik tidur anak atau meja belajar standard yang terlalu besar

Perkara utama di sini ialah memilih perabot kanak-kanak yang boleh diubah suai apabila anak semakin membesar.

2. Utamakan ciri-ciri keselamatan

Keselamatan harus menjadi perhatian utama apabila membeli perabot untuk anak.

Kanak-kanak sering melompat di atas katil, bersembunyi di belakang meja dan menyelinap di bawah katil untuk mengambil mainan.

Ini bermakna katil, kerusi, meja dan bahagian lain di dalam bilik mereka mestilah selamat untuk mereka bermain dan bergerak.

Sebagai permulaan, pastikan perabot yang dipilih tidak mempunyai tepi tajam atau permukaan licin.

Selain itu, elakkan daripada membeli produk yang diperbuat daripada bahan berbahaya dan toksik.

3. Semak juga kualiti dan ketahanan perabot

Anda mungkin jatuh cinta dengan kerusi malas yang comel atau buaian bayi dalam talian kerana ia dijual pada harga diskaun yang luar biasa

Tawaran seperti itu perlu disemak sama ada diperbuat daripada material yang tahan lama dan benar-benar selamat untuk kanak-kanak.

Pertimbangkan pembelian perabot seperti katil kanak-kanak akan digunakan anak untuk tempoh lima tahun akan datang atau lebih. Pastikan katil cukup kukuh untuk menanggung berat anak apabila semakin membesar.

4. Warna perlulah sesuai dengan jiwa keanak-anakan

Estetika bilik kanak-kanak boleh ditingkatkan dengan rona warna pastel atau terang mengikut kecenderungan kanak-kanak.

Sebelum membuat tata hias bilik anak, dapatkan juga pandangan mereka. Ini bagi memberi peluang kepada anak anda untuk lebih selesa dan santai dalam ruang tidur mereka.

Penggunaan perabot bukan sahaja sesuai dengan saiz mereka, warna juga boleh menyuntik aura dan emosi positif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 6:45 AM