Gelagat isteri Fizi.
Gelagat isteri Fizi.

 

Kuala Lumpur: Kerenah isteri kepada penyampai radio, Fizi Ali, Siti Zulaikha yang sedang mengandung mencuri perhatian ramai apabila mengidam untuk mengunyah ais setiap hari. 

Dalam hantaran di Instagram, Fizi berkongsi video pendek ketika dia keluar membeli sebungkus ais dan merakamkan detik-detik isterinya mengunyah 'makanan' yang diidamkannya itu. 

"Yang sedang mengandung mesti ada rasa mengidam kan? Tapi, orang rumah saya mengidam satu benda. Hari-hari nak kena ada ini. 

"Dia tak dapat benda lain tak kisah. Tak banyak kerenah. Tapi! Kalau tak dapat benda ini mesti muncung sampai boleh gantung penyangkut baju. 

"Kepada wanita mengandung, apa lagi yang anda mengidam seperti Siti Zulaikha? Ada pelik tak?" tulis Fizi. 

Hantaran itu mencuit hati ramai pengikutnya di platform media sosial itu yang rata-rata meninggalkan komen mencuit hati. 

Pada masa sama, ada juga netizen yang menegur tindakan Zulaikha yang berkemungkinan boleh menyebabkan kerosakan pada giginya. 

Fizi sebelum itu mengumumkan berita kehamilan isterinya pada 10 April lalu dan berkongsi gambar 'baby bump' isterinya. 

Fizi dan Zulaikha mendirikan rumah tangga pada 23 Oktober lalu selepas bercerai dengan pelakon Shakilla Khoriri pada Disember 2021. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 1:31 PM