GARAPAN monokrom Amin.
GARAPAN monokrom Amin.
Nurul Husna Mahmud


MONOKROM menerusi penggunaan satu warna dominan bertujuan mencipta kesederhanaan, ketenangan, dan elegan untuk dekorasi ruang kediaman.

Namun di sebalik penggunaan satu warna itu, ramai beranggapan menata hias ruang dalam kediaman menggunakan konsep itu boleh membuatkan ruang itu terlalu kosong dan membosankan.

Tanggapan itu dinafikan Pengasas Mamy Home Sdn Bhd yang juga pereka hiasan dalam bertauliah, Amin Yusoff, apabila konsep monokrom itu walaupun satu warna boleh disertai dengan pelbagai tona, dan intensiti warna terbabit dalam satu ruang.

"Konsep Monokrom adalah 'trend' popular kala ini menjadi pilihan pemilik kediaman kerana ia sering dianggap neutral dan selamat.

"Penggunaan monokrom selalunya menggunakan warna yang neutral seperti hitam, putih dan kelabu.

"Konsep satu warna itu juga boleh disesuaikan untuk semua jenis kediaman bergantung kepada warna yang dipilih. Warna pastel contohnya, boleh menghasilkan suasana yang lebih lembut dan feminin," katanya.

WARNA perabot juga perlu senada.
WARNA perabot juga perlu senada.

Beliau turut menjelaskan konsep monokrom sesuai untuk semua ruang dan pemilihan warna sangat penting.

"Dalam pemilihan warna untuk ruang dalam rumah perlu disesuaikan dengan fungsi ruang itu sendiri. Bilik tidur, adalah penting untuk memilih tona warna yang menenangkan seperti biru atau hijau.

"Warna terlalu gelap mungkin tidak sesuai untuk ruang tidur kerana ia boleh memberikan kesan kurang nyaman," katanya.

Bagi mengelak monokrom kelihatan membosankan, pakar perunding dalaman itu turut menyarankan penggunaan pelbagai variasi tekstur dan corak dalam konsep terbabit.

MONOKROM suntik gaya sederhana tetapi tampak selesa.
MONOKROM suntik gaya sederhana tetapi tampak selesa.

"Menggabungkan pelbagai tekstur seperti kayu, fabrik lembut, dan logam boleh menambah minat visual.

"Corak seperti garisan atau geometri juga boleh memberikan dimensi tambahan kepada ruang.

"Pemilihan perabot dan aksesori dalam warna tema yang sama boleh mencipta keselarasan yang baik.

"Namun, memasukkan beberapa elemen neutral atau warna semula jadi juga penting untuk memberikan kontra yang menarik sekali gus membuatkan ruang itu tidak membosankan.

BOLEH bermain dengan ton dari gelap ke cerah atau sebaliknya.
BOLEH bermain dengan ton dari gelap ke cerah atau sebaliknya.

"Contohnya, perabot kayu dalam tona semula jadi boleh melengkapkan tema monokrom tanpa mengganggu keseragaman warna," katanya.

Berkongsi pengalaman sendiri dalam mencipta ruang monokrom milik kliennya, kata Amin, projek penataan ruang tamu bertemakan warna kelabu antara yang menarik.

"Cabaran utama dalam menggunakan konsep monokrom ialah memastikan ruang tidak kelihatan terlalu mendatar.

"Menggunakan hanya satu warna memerlukan kemahiran dalam mencipta variasi dan dimensi. Selain itu, memilih tona yang tepat dan memastikan keseluruhan tema harmoni adalah aspek yang mencabar.

"Itu antara perkara saya teliti. Pengalaman sendiri mengenai konsep monokrom ini, saya berjaya menggunakan pelbagai tona kelabu dari yang sangat terang hingga kepada tona sangat gelap.

PERLU kreatif bermain dengan tekstur dan corak.
PERLU kreatif bermain dengan tekstur dan corak.

"Kami menambah tekstur dengan menggunakan fabrik baldu, permaidani berbulu dan hiasan logam.

"Pencahayaan yang hangat juga digunakan untuk menonjolkan tekstur dan tona warna, memberikan ruang kelabu itu kelihatan elegan dan selesa," katanya.

Sebelum memulakan konsep monokrom, Amin menyarankan pemilik kediaman melakukan penyelidikan dan merancang dengan teliti.

"Tentukan warna utama dan tona yang ingin digunakan serta pertimbangkan pencahayaan yang sesuai.

"Jangan takut untuk bereksperimen dengan tekstur dan corak. Paling penting, pastikan selesa dengan pilihan warna terbabit kerana ia akan mempengaruhi suasana keseluruhan kediaman anda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 6:20 AM