Joe Biden. FOTO AFP
Joe Biden. FOTO AFP
Syah Rul Aswari Abdullah


Kira-kira 51.3 juta orang menonton debat antara Presiden Joe Biden dan bekas presiden Donald Trump di televisyen, pada 27 Jun lalu, menurut angka daripada Nielsen. Bagaimanapun, jumlah itu tidak mengambil kira penonton yang menyaksikannya secara dalam talian.

Secara tradisinya, Debat Presiden diadakan menghampiri Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS). Namun kali ini, ia dianjurkan lebih awal iaitu lebih 100 hari menjelang tarikh pengundian iaitu 5 November depan.

Suka atau tidak, satu dunia sudah dapat melihat sendiri Trump lebih menyerlah daripada Biden pada acara berkenaan. Biden yang sering dikritik kerana usianya - walaupun hanya tiga tahun lebih tua daripada Trump - dilihat tidak dapat menyaingi tenaga saingannya itu.

Untuk rekod, Biden kini berusia 81 tahun dan Trump berumur 78 tahun. Jika rakyat AS memilih semula Biden, beliau akan berusia 86 tahun pada akhir penggal keduanya nanti.

Semuanya mengenai Biden kini dilihat 'tua'. Dari permulaan beliau berjalan memasuki pentas, gaya suaranya yang serak dan lemah, malah sesekali dilihat seperti merapu apabila tidak dapat mengeluarkan perkataan yang jelas apabila cuba menyatakan hujahnya. Riak mukanya juga jarang berubah. Semua ciri ini dilihat mirip perilaku individu yang sudah lanjut usia.

Trump pula dilihat sebaliknya. Dia masih kekal dengan gaya mimik muka seakan mencebik. Bahasa tubuhnya dilihat seperti individu yang cergas. Pendapatnya kedengaran 'tajam', tidak banyak beza ketika pertama kali berdebat dengan Biden pada acara sama pada 2020.

Paling penting, Trump kelihatan lebih sihat, muda dan jauh bertenaga daripada Biden.

Penonton juga perasan bahawa Biden tersalah cakap apabila membahaskan isu cukai terhadap golongan ultra kaya. Ia berlaku apabila beliau merujuk bilionair sebagai trilionair, sebelum memperbetulkan semula perkataannya itu. Ini berlaku ketika perbahasan baru memasuki minit ke-10.

Ada beberapa ketika juga, Biden dilihat seperti terlupa seketika mengenai apa yang patut dituturkannya.

Trump amat sedar akan label 'tua' terhadap pesaingnya itu. Jadi, ada ketikanya ketika debat ini, Biden dan Trump sering saling memberi cabaran untuk menunjukkan siapa lebih kuat dari segi fizikal dan kognitif.

Trump bermegah mengenai kekuatannya, mendakwa, "Saya berada dalam keadaan yang baik seperti saya 25, 30 tahun lalu," kepada moderator debat, Jake Tapper dan Dana Bash. Sebagai tindak balas, Biden membayangkan bahawa lawannya itu berbohong mengenai ketinggian dan berat badan.

Trump berkata, beliau memenangi dua kejuaraan di padang golf, manakala Biden 'tidak boleh memukul bola sejauh 50 ela.' Ini mendorong Biden untuk mencabar Trump ke perlawanan golf, hanya jika Trump akan membawa begnya sendiri.

Susulan debat ini, kem Demokrat kini gelisah apabila hampir tiada pihak yang dapat memberi komen positif terhadap Biden. Naib Presiden AS, Kamala Harris sendiri tidak menafikannya dengan hanya berkata: "Tiada yang menafikan ia (Debat Presiden) adalah permulaan perlahan." Ada juga laporan mengenai calon pengganti Biden meskipun perkara itu dianggap sesuatu yang mustahil.

Undian CNN pula mendapati pengundi berdaftar yang menyaksikan acara itu bersetuju bahawa Trump menunjukkan penampilan lebih bagus berbanding Biden.

Untuk rekod, ketika kali pertama Biden dan Trump bertanding untuk jawatan presiden pada 2020, Biden dilihat lebih menampilkan prestasi bagus pada kedua-dua edisi Debat Presiden.

Biden - jika kekal sebagai calon Demokrat - mempunyai satu lagi peluang untuk meyakinkan pengundi apabila edisi kedua dan terakhir Debat Presiden 2024 diadakan pada 10 September depan.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 6:30 AM