GAUN kemban dengan lebihan pada belakang baju sesuai untuk menghadiri acara karpet merah atau majlis perkahwinan dalam taman.
GAUN kemban dengan lebihan pada belakang baju sesuai untuk menghadiri acara karpet merah atau majlis perkahwinan dalam taman.
MANIS dipakai, anggun digayakan. Kebaya labuh dengan perincian renda pada bahagian lengan dan hujung baju.
MANIS dipakai, anggun digayakan. Kebaya labuh dengan perincian renda pada bahagian lengan dan hujung baju.
SENTUHAN peplum menerusi perincian sederhana pada baju dan kain broked menyerlahkan keanggunan wanita.
SENTUHAN peplum menerusi perincian sederhana pada baju dan kain broked menyerlahkan keanggunan wanita.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Gabungan gaya lama dan baru sememangnya memberikan penghasilan yang cukup menyerlah buat si pemakai. Ini kerana potongan tradisi yang diberikan nafas baru mampu menyuntik elemen segar lantas memberikan sesuatu yang bernilai buat wanita.

Ini dapat dilihat apabila pereka Rozie Khan Couture yang hanya mahu dikenali sebagai Rozie menghasilkan empat rekaan bertemakan gaya moden kontemporari dengan mengambil latar kurung dan kebaya sebagai asas rekaan.

Mengekalkan potongan kebaya dan kurung peplum, rekaan ini mampu menjadi persalinan anggun dan memikat apabila kena dengan pemilihan fabrik serta warna digunakan.

Jelasnya, walaupun kini peralihan fesyen semasa dengan kehadiran jubah, abaya dan gaun, namun potongan tradisi berteraskan baju kurung dan kebaya kekal sepanjang zaman.

"Kurung dan kebaya tidak lapuk ditelan zaman. Ia menjadi asas utama bagi menghasilkan apa saja rekaan sama ada mengikut 100 peratus atau mengubah suai menjadi lebih moden bergantung kepada kreativiti pereka," ujarnya.

Menyediakan rekaan busana sedia dipakai, Rozie menggunakan sutera Thai dan broked net bagi memberikan kelainan dan lain daripada kebiasaan. Jika material sifon, satin dan renda menjadi pilihan pereka kerana sifatnya yang lembut, jatuh dan terletak cantik pada tubuh si pemakai, dia berasa terdapat banyak fabrik yang cantik dan sesuai di pasaran untuk digayakan wanita. Apa yang membezakan hanyalah daya kreativiti pereka dalam menambah nilai dan mencantikkan potongan yang dilhamkan mereka.

"Sebab itu, saya cuba menghasilkan kebaya menggunakan sutera Thai dan gaun daripada broked net. Walaupun ramai beranggapan broked lebih keras, fabrik ini juga mempunyai pelbagai jenis. Broked net misalnya lebih lembut dan senang digayakan. Jadi saya menggunakan alas crepe untuk kesan lebih menyerlah," katanya.

Menggunakan rona semasa dan tidak bermusim seperti hitam, coklat, biru firus dan hijau zamrud, bagi Rozie, rona sebegini mampu digayakan semua peringkat usia. Malah, dengan kemasukan pelbagai rona, biru masih kekal menjadi pilihan, begitu juga hijau atau hitam.

"Sejak dulu saya lebih gemar memilih warna semula jadi seperti hitam, coklat, keemasan serta biru firus yang mampu digayakan untuk pelbagai acara. Warna ini tampak moden, tidak mengikut arus fesyen semasa dan kekal pada bila-bila masa," katanya yang menjalankan perniagaan di rumah di Setapak, Kuala Lumpur.

Bagi menjadikan persalinan lebih eksklusif, perincian swarovski digunakan pada bahagian tertentu terutama dada, lengan dan hujung baju. Namun, dia masih berpegang kepada konsep sederhana itu lebih baik lantas menjadikan busana tidak terlalu mewah. Apa yang penting, wanita selesa ketika menggayakannya.

"Saya sering mendapatkan maklum balas pelanggan mengenai rekaan yang disukai mereka. Ramai mengakui gemar gaya sederhana dan ringkas dengan tidak terlalu sarat bermanik. Ini kerana perincian berlebih-lebihan menjadikan busana nampak pelik dan hilang keindahannya," ujarnya.

Selain busana kasual dan majlis keraian, Rozie turut menyediakan pakaian pengantin yang mengetengahkan gaya moden kontemporari. Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut boleh melayari laman sosial Facebook Rozie Morshidi atau Instagram rozie1111.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:03 AM