Neelofa. Foto dari Instagram
Neelofa. Foto dari Instagram
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Selepas teruk menerima kecaman daripada netizen, pihak Nilofa Group yang difahamkan milik usahawan selebriti popular, Neelofa, 35, tampil memohon maaf di atas kekhilafan berlaku.

Menerusi hantaran dimuat naik di Instagram (IG) syarikat itu, dikongsikan kenyataan permohonan maaf secara terbuka berikutan insiden berlaku mengaitkan penggunaan imej berbaur lucah atau 'soft porn' bagi promosi produk mengeratkan hubungan suami isteri.

"Assalamualaikum, pihak team isterix memohon maaf atas beberapa grafik tertentu yang telah dihasilkan. Kami terima segala teguran dan akur dengan kesilapan ini.

"Pihak kami akan lebih menjaga sensitiviti untuk menghasilkan konten yang lebih mesra masyarakat pada masa akan datang," tulisnya pada permohonan maaf itu.

Justeru, pihak syarikat juga memaklumkan permohonan maaf terbabit dibuat dengan rasa rendah diri terhadap kesalahfahaman yang timbul berkenaan promosi produk dipaparkan itu.

"Kami dengan rendah diri ingin memohon maaf kepada semua pihak terlibat atas kesalahfahaman yang timbul berkenaan dengan produk dipaparkan.

"Kami mengambil maklum teguran daripada masyarakat dan berjanji untuk lebih berhati-hati serta sensitif dalam setiap komunikasi kami pada masa akan datang.

"Terima kasih atas pengertian dan sokongan anda semua," tulisnya namun menutup ruangan komen untuk pihak netizen berkongsi luahan perasaan berhubung permohonan maaf itu.

Terdahulu, menerusi hantaran dimuat naik di akaun @nilofagroup, dipaparkan imej buah pic yang digunakan sekali gus mengundang dakwaan netizen dengan dikatakan cuba memberi gambaran seakan menyerupai alat sulit wanita.

Oleh itu, ruangan komen hantaran promosi produk terbabit terus mendapat kecaman daripada netizen yang kurang menyenangi teknik pemasaran sebegitu apabila dianggap tidak sensitif kerana menggunakan mesej tersirat.

Pada September tahun lalu, difahamkan Neelofa yang juga isteri kepada pendakwah, PU Riz itu sudah melancarkan produk keintiman untuk hubungan suami dan isteri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 10:16 PM