Redzuan Muharam


Petaling Jaya: Lembaga Tabung Haji (TH) memohon kerjasama pihak berwajib khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membantu penerima vaksin Sinovac mendapatkan dos penggalak bagi membolehkan mereka menunaikan ibadah umrah.

Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel and Services Sdn Bhd (THTS), Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata, ia kerana kerajaan Arab Saudi ketika ini hanya memperakui dan membenarkan kemasukan jemaah yang mengambil suntikan vaksin jenis Pfizer dan AstraZeneca saja.

Ahmad Ruzman berkata, penerima vaksin Sinovac pula dikehendaki mengambil dos penggalak daripada jenis Pfizer dan AstraZeneca yang diiktiraf di negara ini.

"Mewakili jemaah umrah, saya mengharapkan pertimbangan pihak berwajib atas ruang yang ada bagi membolehkan mereka (penerima vaksin Sinovac) mendapat dos penggalak.

"Ini kerana isu vaksinasi menyebabkan penerima vaksin Sinovac tidak layak dan gagal menetapkan tarikh menunaikan ibadah umrah kerana masih tertunggu kebenaran daripada Arab Saudi.

"Kita percaya dengan KKM dan harap niat ikhlas mereka (bakal jemaah) membuahkan hasil hingga dapat nikmati peluang menunaikan umrah," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara THTS dan TheNoor yang dilantik sebagai Rakan Kembara Rasmi di Hotel TH Kelana Jaya, di sini, hari ini.

AHMAD Ruzman (kiri) bersama Neelofa pada majlis MoU antara THTS dan TheNoor. FOTO Rohanis Shukri
AHMAD Ruzman (kiri) bersama Neelofa pada majlis MoU antara THTS dan TheNoor. FOTO Rohanis Shukri

Hadir sama, pengacara popular, Neelofa selaku Ketua Pegawai Eksekutif Noor Luminous Sdn Bhd dan Ketua Pegawai Teknologi Noor Luminous Sdn Bhd, Mohd Izzairi Yamin.

Ahmad Ruzman berkata, ramai juga individu berusia bawah 60 tahun berhasrat menunaikan umrah tetapi tidak memenuhi kelayakan kerana keutamaan pemberian dos penggalak adalah kepada yang berstatus komorbid atau berisiko tinggi.

"Ia menyebabkan mereka masih menunggu (pemberian dos penggalak).

"Kerajaan ada pilihan lain, mungkin mempertimbangkan pemberian ruang kepada swasta dan bayar dengan harga munasabah dengan seliaan KKM untuk pemberian dos penggalak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 1:32 PM