NEELOFA tersentuh tiap kali membaca kalimah Allah.
NEELOFA tersentuh tiap kali membaca kalimah Allah.
Najiy Jefri


PENGACARA popular, Neelofa menerusi syarikat Noor Luminous Sdn Bhd melancarkan aplikasi gaya hidup Islamik perdana dikenali sebagai TheNoor, baru-baru ini.

Menariknya, aplikasi yang dilengkapi pelbagai ciri-ciri khas seperti waktu solat, arah kiblat dan lokasi masjid berdekatan ini turut menawarkan fungsi tafsir al-Quran dalam lima bahasa berbeza iaitu bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin, Tamil dan Indonesia.

Memilih untuk meneroka bidang pembangunan digital sebagai cabang bisnes baharu, Neelofa selaku Ketua Pegawai Eksekutif Noor Luminous Sdn Bhd, berkata TheNoor adalah aplikasi semua dalam satu yang mampu memenuhi keperluan gaya hidup Muslim di seluruh dunia.

"Kita tidak boleh nafikan kerancakan pembangunan platform digital sejak kebelakangan ini. Lebih-lebih lagi, dengan kehadiran pelbagai peranti pintar berserta sambungan internet di hujung jari. Segala keperluan maklumat dapat diakses dengan cepat.

"Selain menggalakkan orang ramai untuk lebih celik teknologi maklumat (IT), pembangunan aplikasi TheNoor yang dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri menarik bagi masyarakat Muslim ini juga dapat menjadi 'pembantu' maya untuk kita melaksanakan tugas harian dengan mudah dan pantas.

"Sebagai contoh, bahagian tafsir al-Quran didatangkan dengan lima bahasa termasuk tiga bahasa utama di Malaysia. Kami juga merancang menambah bahasa lain seperti bahasa Turki, Perancis, Sepanyol, Urdu dan Hindi pada masa akan datang.

NEELOFA teroka bidang pembangunan digital sebagai cabang bisnes baharu.
NEELOFA teroka bidang pembangunan digital sebagai cabang bisnes baharu.

"Alhamdulillah, selepas lebih enam bulan dirancang, kami dengan bangganya melancarkan aplikasi TheNoor yang boleh dinikmati oleh semua masyarakat Islam di seluruh dunia," katanya.

Ditanya mengenai pengalaman ketika merakam keseluruhan terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu, Neelofa berkata ia satu pengalaman yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

"Jika dihitung proses rakaman untuk menyiapkan semua terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu mengambil masa sekitar 20 hari. Satu hari, saya peruntukkan dua juzuk paling maksimum untuk merakam terjemahannya.

"Saya masih ingat setiap kali proses rakaman, hati saya pasti tersentuh apabila membaca berulang kali kalimah Allah. Satu perasaan yang sukar untuk saya jelaskan. Malah, ada masa hati saya terjentik dan mudah tersentuh.

"Saya boleh katakan, ia pengalaman yang cukup bermakna dan luar biasa. Setiap kali saya baca terjemahan al-Quran, dapat dirasakan ada penambahbaikan dalam iman dan apabila selesai rakaman hati saya pasti berasa tenang serta lega," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Noor Luminous Sdn Bhd, Ahmad Tajuddin Idris berkata, aplikasi TheNoor juga bakal menjadi platform sehenti perniagaan dalam talian yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang menepati syariah.

NEELOFA lancar aplikasi Islamik dilengkapi antaranya lokasi masjid, waktu solat dan tafsir al-Quran lima bahasa.
NEELOFA lancar aplikasi Islamik dilengkapi antaranya lokasi masjid, waktu solat dan tafsir al-Quran lima bahasa.

"Kami merancang memperkenalkan fungsi wasiat dan faraid yang membolehkan pengguna untuk mengelolakan wasiat mereka menerusi aplikasi TheNoor mengikut undang-undang syariah.

"Selain itu, kami juga bakal melancarkan kad keistimewaan terhad yang membolehkan pengguna membeli produk takaful menerusi kerjasama dengan rakan kongsi insurans seperti Zurich Takaful dan Etiqa Takaful.

"Sejajar dengan perkembangan jualan dalam talian (online) dan galakan pembayaran tanpa tunai, kami juga akan memperkenalkan dompet digital (e-wallet) yang hadir dengan fungsi Kad Prabayar Visa menerusi Fasspay, yang kini menanti kelulusan daripada Bank Negara Malaysia," katanya.

Selain Neelofa dan Tajuddin, Noor Luminous Sdn Bhd turut diterajui oleh Ketua Pegawai Teknologi, Mohd Izzairi Yamin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 6:41 AM