Redzuan Muharam


Petaling Jaya: "Kalau betul tak mampu, tak jatuh hukum wajib untuk pergi. Islam tak menyusahkan," kata Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel and Services Sdn Bhd (THTS), Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali.

Ahmad Ruzman memberi reaksi itu ketika diminta mengulas susulan kenaikan kos menunaikan ibadah umrah lebih RM2,000 dengan harga lantai baharu berjumlah RM6,900 bagi setiap jemaah, ketika ini.

Beliau berkata, pertambahan kos itu bukan bertujuan mengaut untung, tetapi berkait rapat dengan prosedur operasi standard (SOP) di Arab Saudi yang merangkumi aspek pengangkutan, penginapan dan penjagaan kesihatan.

Menurutnya, pengangkutan dan penginapan membabitkan pengurangan had kapasiti dalam kenderaan serta bilik hotel manakala penjagaan kesihatan berkait kos ujian saringan PCR perlu diambil sebelum pulang ke tanah air.

Katanya, harga itu sudah termasuk dalam pakej, jadi jemaah tidak lagi perlu mengeluarkan wang untuk kos tambahan ketika berada di Arab Saudi melainkan belanja peribadi.

Noor Neelofa (kanan) bersama Ahmad Ruzman (kiri) pada majlis tandatangi kerjasama perkongsian antara TH Travel & Services Sdn Bhd dan aplikasi TheNoor dalam menawarkan perkhidmatan pelancongan patuh syariah di TH Hotel. FOTO ROHANIS SHUKRI.
Noor Neelofa (kanan) bersama Ahmad Ruzman (kiri) pada majlis tandatangi kerjasama perkongsian antara TH Travel & Services Sdn Bhd dan aplikasi TheNoor dalam menawarkan perkhidmatan pelancongan patuh syariah di TH Hotel. FOTO ROHANIS SHUKRI.

"Bagaimanapun, saya yakin kenaikan kos itu hanya sementara dan tidak menolak kemungkinan berlaku penurunan apabila situasi Covid-19 bertambah baik.

"Arab Saudi nak kita datang, malah mereka mengalu-alukan kemasukan pelawat, tetapi pada masa sama berhati-hati dan menilai dari negara mana datangnya jemaah itu.

"Bila tengok keadaan baik, kerajaan di sana mungkin akan beri kelonggaran sedikit demi sedikit seperti di Malaysia. Apabila memasuki fasa ringan, maka akan terhasil penjimatan kos dan kenaikan kos ini hanya sementara serta akan dikaji dari semasa ke semasa.

"Kalau dulu, kenderaan boleh memuatkan 50 jemaah, tetapi kini separuh saja. Begitu juga bilik penginapan yang sebelum ini menempatkan empat orang, sekarang dua saja," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara THTS dan TheNoor yang dilantik sebagai Rakan Kembara Rasmi di Hotel TH Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Hadir sama, pengacara popular, Neelofa selaku Ketua Pegawai Eksekutif Noor Luminous Sdn Bhd dan Ketua Pegawai Teknologi Noor Luminous Sdn Bhd, Mohd Izzairi Yamin.

Sementara itu, Ahmad Ruzman mengingatkan pemain industri khususnya ejen supaya mengembalikan lebihan wang tempahan pakej umrah kepada jemaah sekiranya ada susulan pengurangan kos dalam tempoh ibadah umrah.

"Di kesempatan ini, saya ingin beri nasihat kepada kawan iaitu ejen umrah dan pemain industri supaya jujur dengan jemaah serta pulangkan bahagian (wang) jika ada kelonggaran diberikan.

"Ini apabila mereka dapat pastikan wang diambil menerusi tempahan pakej itu tidak dibelanjakan," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Ruzman berkata, setakat ini, terdapat 250,000 kuota umrah tersedia daripada kini hingga Mei depan sepanjang tahun 1443 Hijrah.

Beliau berharap semua individu yang berhasrat menunaikan umrah memenuhi kelayakan untuk pergi walaupun ada antaranya kini tidak berpeluang disebabkan isu vaksinasi.

"Saya harap semua layak ke sana (Tanah Suci) supaya dapat sama-sama bermunajat berdepan isu, mungkin kematian ahli keluarga akibat Covid-19.

"Ini kerana Tanah Suci adalah tempat terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah," katanya.

Terdahulu, kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menetapkan harga lantai RM6,900 kepada syarikat pengendali umrah berlesen untuk mengerjakan umrah bagi 12 hari 10 malam.

Kementerian itu dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan penetapan itu dibuat selaras dengan perkembangan semasa iaitu peningkatan kos mengerjakan umrah memandangkan SOP di pihak Arab Saudi dan kerajaan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 4:53 PM