Keadaan bapa Ayda Jebat ketika dirawat di hospital akibat angin ahmar.
Keadaan bapa Ayda Jebat ketika dirawat di hospital akibat angin ahmar.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Bapa penyanyi popular, Ayda Jebat iaitu Jebat, 54, yang dimasukkan ke hospital akibat serangan angin ahmar sudah dibenarkan pulang ke rumah.

Ayda berkata, bapanya yang sebelum ini hanya minum susu juga menunjukkan perkembangan positif apabila sudah boleh makan.

"Alhamdulillah, ayah saya sudah pulang ke rumah dan menunjukkan perkembangan positif. Kami juga sudah menyusun jadual untuk sesi fisioterapi dan akupuntur.

"Mengikut kata doktor, untuk pulih memerlukan kesabaran dan disiplin kerana ia memakan masa. Jadi, saya dan keluarga sedaya-upaya untuk membantu ayah.

"Buat masa ini dia tidak mampu untuk bercakap pun, tapi saya tahu semangatnya kuat. Malah, saya mendapat semangat untuk berjuang ini pun daripada ayah saya juga," katanya.

Ayda yang ditemui di program The Hardest Singing Show malam tadi mengakui sedikit-sebanyak tumpuannya untuk pertandingan dan bapanya berbelah bagi.

"Apabila saya tahu mengenai keadaan ayah, saya bergegas pulang ke Melaka untuk menguruskan dan sebagainya. Jadi tumpuan untuk program itu memang terganggu.

"Apa pun, saya menganggap apa yang berlaku sebagai cabaran dan dugaan. Namun, syukur saya mendapat kekuatan untuk kembali bertanding pada minggu ini.

"Malah, keluarga juga meminta saya memberikan tumpuan kepada pertandingan memandangkan berbaki beberapa minggu saja lagi," katanya.

Terdahulu, Ayda memuat naik perkongsian memaklumkan bapanya diserang angin ahmar dan dimasukkan ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 3:53 PM