AYDA sentiasa bersikap profesional dan akan bekerja dalam cara yang baik dengan sesiapa saja. FOTO Aziah Azmee
AYDA sentiasa bersikap profesional dan akan bekerja dalam cara yang baik dengan sesiapa saja. FOTO Aziah Azmee
Syanty Octavia Amry


PENYANYI dan pelakon, Ayda Jebat mengakui terkejut apabila ada pihak cuba mengaitkan hubungannya dengan pelakon Redza Rosli sudah putus berpunca daripada pelakon Oktovia Manrose.

Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 27, ketika ditemui berkata, tidak perlu mengaitkan nama sesiapa dalam masalah itu kerana mereka tidak terbabit.

“Masalah yang berlaku hanyalah di antara kami berdua dan saya tidak tahu bagaimana nama Oktovia boleh dikaitkan sama,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Aura White Sparkle Diamond Skincare dan Aura White Sparkle Diamond Collagen Travel Pack di Seri Kembangan, semalam.

Ayda berkata, dia tidak mahu lagi memberikan sebarang komen mengenai dakwaan perkara itu.

Katanya, selama ini hubungannya dengan Redza tidak lebih daripada sekadar kawan baik malah mereka profesional dalam bekerja.

“Sebenarnya kami hanya berkawan baik dan tiada istilah putus cinta pun. Saya sentiasa bersikap profesional dan akan bekerja dalam cara yang baik dengan sesiapa saja.

“Saya tidak menafikan atau mengiyakan perhubungan ini. Selama ini kami profesional tetapi ramai yang beranggapan mempunyai hubungan istimewa,” katanya.

Ayda berkata, dia tidak mahu terus memberikan komen kerana perlu menjaga hati banyak pihak.

“Sejujurnya ada beberapa pihak yang saya perlu jaga hati mereka. Bukan sahaja diri saya, malahan di pihak sebelah sana juga.

“Kami juga sudah bersetuju untuk tidak memberikan sebarang kenyataan dan ini adalah pendekatan yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu, pasangan itu dikatakan hangat bercinta selepas digandingkan menerusi drama Ku Kirim Cinta yang ditayangkan dua tahun lalu.

Difahamkan, Ayda sudah tidak lagi mengikuti Instagram Redza.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 3:12 PM