DRAMA Suami Sebelah Rumah gandingkan Ayda dengan Izzue.
DRAMA Suami Sebelah Rumah gandingkan Ayda dengan Izzue.
Oleh Norhayati Nordin

Lakonan pelakon jelita, Ayda Jebat, 22, dalam telefilem Lokum Untuk Mama yang disiarkan di TV9 menerusi slot Skrin Di TV9, baru-baru ini cukup menarik perhatian ramai. Apatah lagi, anak jati kelahiran Melaka ini digandingkan bersama hero pujaan ramai masa kini, Zul Ariffin.

Gandingan serasi Ayda dan Zul di layar semestinya sudah diakui peminat mereka. Pun begitu, kini peminat Ayda teruja menanti kemunculannya dalam drama Suami Sebelah Rumah.

Drama terbitan JS Pictures yang diarahkan Jinggo itu akan disiarkan di TV3 tidak lama lagi dan kali ini Ayda bergandingan dengan pelakon Izzue Islam. Sekali lagi beraksi untuk drama adaptasi novel, Suami Sebelah Rumah adalah gandingan buat julung kali Ayda bersama Izzue.

Berbicara mengenai gandingan itu, Ayda berkata, dia selesa bekerjasama dengan Izzue meskipun pelakon itu dikatakan menetapkan syarat seperti tiada aksi bersentuhan.

Ditemui pada sesi fotografi, baru-baru ini, Ayda memaklumkan sebagai rakan sesama pelakon, dia sangat menghormati keputusan Izzue itu.

"Saya okey saja dengan setiap keputusan dibuat. Bagi saya, apa yang dilakukan Izzue itu adalah tindakan wajar memandangkan dia juga sudah berumah tangga.

"Kami pun ketika di lokasi saling berbincang dan syukur segala proses penggambaran berjalan lancar seperti diharapkan. Kini, saya teruja untuk menantikan maklum balas peminat mengenai gandingan kami dalam drama Suami Sebelah Rumah itu," katanya.

Ayda berkata, dia juga tidak melihat tindakan Izzue mengambil keputusan itu sebagai masalah yang boleh menghalang kerjasama mereka. Semakin kencang menerima tawaran berlakon, kini diakui masa untuk Ayda memberi fokus dan komitmen tinggi dalam karier lakonannya.

Ditambah sokongan kelab peminatnya, Ayda Jebat (AJ) Screamer begitu membuatkan Ayda bersemangat untuk aktif berlakon.

"Saya sangat menghargai sokongan peminat yang tidak jemu memberi sokongan pada karier lakonan diceburi. Kelab peminat AJ Screamer cukup bermakna buat saya.

"Tanpa peminat yang setia memberikan sokongan, rasanya Ayda Jebat tidak berada pada tahap sekarang ini," katanya.

Ayda atau nama sebenarnya,Nur Suhada Jebat ini pernah menyertai Akademi Fantasia 9 (AF9), empat tahun lalu. Pun begitu, rezeki anak sulung dalam keluarga ini nampaknya lebih menyerlah dalam bidang lakonan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 5:02 AM