AZADAN. FOTO Arkib NSTP
AZADAN. FOTO Arkib NSTP
Serimah Mohd Sallehuddin

Kuala Lumpur: Ketua kumpulan nasyid Rabbani, Azadan Abdul Aziz meminta kenalan yang menerima mesej memohon bantuan kewangan melalui aplikasi WhatsApp daripadanya agar tidak melayan hantaran itu.

Azadan memberitahu enam kenalannya sudah terkena dengan apa yang didakwa perbuatan 'scammer' yang menggodam aplikasi berkenaan.

Azadan mendakwa ada kenalan membuat pindahan wang sehingga RM2,000 kepada 'scammer' terbabit. Seorang lagi sahabat, dakwa Azadan, kerugian RM4,000.

"Aplikasi WhatsApp saya digodam malam tadi. Namun, saya sedari pagi tadi, apabila mendapat banyak panggilan dari teman yang menerima mesej sama daripada penggodam berkenaan.

"Kenalan saya seperti Datuk Nash dan Black Hanifah juga ada hubungi dan beritahu mereka terima mesej melalui WhatsApp. Tetapi, mujur mereka bertanya dengan saya terlebih dahulu," katanya.

Berikutan itu, Azadan membuat laporan polis.

"Saya sudah buat laporan di satu aplikasi dan belum ada maklum balas diterima. Sekarang saya tidak boleh akses ke aplikasi WhatsApp.

"Siasatan dibuat menunjukkan si penggodam ambil alih kumpulan WhatsApp yang ditadbir saya. Sesiapa dalam kumpulan itu sebar berita bahawa WhatsApp saya digodam, dia akan padamkan hantaran itu.

"Jadi, saya mohon mereka yang ada nombor telefon bimbit saya supaya berhati-hati. Jika anda terima mesej daripada saya melalui WhatsApp, itu bukan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 4:04 PM