Saiful Apek yang berkesempatan melawat Pak Ya di hospital
Saiful Apek yang berkesempatan melawat Pak Ya di hospital
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak Ilya Buang Shaharum, 57, atau lebih dikenali Pak Ya Senario kini dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan membuang batu dalam hempedu di sebuah pusat perubatan swasta, Rabu lalu.

Perkara ini disahkan oleh pengurus Senario dikenali sebagai Neo Nizam yang menziarahinya di hospital bersama Saiful Apek, semalam.

"Syukur...Pak Ya dah selesai dan selamat menjalani pembedahan. Berkat doa tak putus-putus semua pihak, keadaannya sangat bagus dan nampak ceria.

"Kalau ikut info sebelum ini, akan ada pembedahan kedua. Tapi syukurlah selepas pakar buat ultra scan memang tak perlu buat yang kedua.

"Sebab mungkin ia hanya andaian dan hanya kesan sampingan lepas pembedahan. Apapun terima kasih sekali lagi kepada semua yang terus mendoakan Pak Ya," katanya kepada Harian Metro.

Neo Nizam berkata, Pak Ya kini sedang berehat dan doktor masih memantau keadaannya bimbang sekiranya ada kemungkinan lain yang terjadi.

"Dari pemerhatian kami dia stabil dan mungkin sehari dua ini akan dibenarkan keluar. Yang penting kita nak dia berehat sepenuhnya dan aktif kembali apabila benar-benar sembuh," katanya.

Terdahulu, Pak Ya sudah seminggu mengadu sakit pada bahagian perut dan pada 24 Mei lalu, dia meminta anaknya Dahlia membawanya ke hospital kerana sudah tidak dapat menahan sakit.

Ujian endoskopi yang dibuat pada Sabtu mengesahkan Pak Ya mempunyai masalah ini. Dia juga sebelum ini mempunyai masalah jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2024 @ 11:52 AM