EBBY tak sangka bakatnya diterima seperti sekarang.
EBBY tak sangka bakatnya diterima seperti sekarang.
Oleh Norhayati Nordin

Susuk tubuh pelakon komedi popular, Ebby Yus, 50, semakin kurus sejak dia menjalani pembedahan pintasan jantung kira-kira 15 tahun lalu.

Ebby berkata, sejak itu dia diminta doktor supaya menjaga pemakanannya selain faktor usia yang semakin meningkat.

"Saya perlu melakukannya atas nasihat doktor dan sekarang rutin harian saya tidak makan nasi selepas jam 8 malam.

"Kalau saya makan nasi pun, ia akan diambil selewat-lewatnya pada jam 6 petang. Selepas jam itu, saya biasanya sudah tidak mengambil makanan lagi," kata pemilik nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid ini.

Ebby yang mengusahakan Restoran Adam Lai sejak tiga tahun lalu bersama rakan kongsinya di Seksyen 15, Shah Alam kini sudah mempunyai tiga cawangan iaitu di Dataran Prima, Taman Sri Gombak dan Dataran Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.

Berbicara mengenai bagaimana dia mampu mengawal pemakanannya, Ebby berkata, pada awalnya agak sukar juga untuk melakukannya.

Namun, dia harus nekad demi kesihatan diri dan faktor usia yang semakin meningkat mendorong dia mengikut segala nasihat doktor.

Berkongsi perkembangan terbarunya, Ebby memaklumkan dia tidak pernah menyangka akan diterima baik peminat seperti sekarang terutama sebagai pelakon komedi.

"Biarpun bukan pelawak, saya selesa masyarakat mengenali saya sebagai pelakon komedi. Bukan mudah untuk membina nama sebagai anak seni berjaya. Apatah lagi, mampu bertahan hingga kini," katanya yang sudah lebih 30 tahun terbabit sebagai pelakon.

Mengakui kelompok pelawak masa kini lebih bertuah kerana bidang jenaka semakin mendapat pengiktirafan peminat, Ebby berkata, nasibnya dulu tidak sebagus sekarang.

"Kalau dulu, agak terkial-kial juga untuk pelawak mahupun pelakon komedi seperti saya mengetengahkan bakat jenaka dimiliki.

"Masih saya ingat lagi, dulu golongan pelawak dipandang rendah. Kalau berlawak pun untuk acara selingan ketika iklan saja.

"Namun, kini penerimaan peminat dan masyarakat sudah berbeza. Mereka (masyarakat) sudah meletak pelawak pada tahap lebih baik dan agak tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:01 AM