OKODUWA (kanan) mengalami masalah kongenital dengan organ utamanya berada di bahagian bertentangan di dalam badannya. FOTO Youtube
OKODUWA (kanan) mengalami masalah kongenital dengan organ utamanya berada di bahagian bertentangan di dalam badannya. FOTO Youtube
Agensi

Dubai: Seorang wanita Nigeria pergi ke Dubai untuk rawatan pundi hempedu, tetapi terkejut apabila dimaklumkan doktor bahawa organ utamanya berada di bahagian bertentangan di dalam badannya.

Ia adalah keadaan yang jarang berlaku, yang menjejaskan satu daripada 10,000 orang di seluruh dunia.

The National News melaporkan, Okoduwa pada mulanya mengembara dari Lagos ke Dubai dalam usaha mencari penawar untuk sakit perut yang berpanjangan.

Doktor yang merawat wanita itu mengesahkan dia mengalami keadaan kongenital berkenaan.

Dia didapati mempunyai organ di dada dan perut, dalam kedudukan terbalik.

Keadaan itu bukan sahaja dikaitkan dengan isu lain seperti gangguan jantung kongenital dan masalah paru-paru, ia juga menimbulkan cabaran unik bagi doktor yang melakukan pembedahan.

Sebelum ini, Okoduwa, 39, tidak menemui penyelesaian kepada masalah kesihatannya di negara asal.

Ia menyebabkan dia pergi ke Hospital Medeor, Dubai, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Dr Jaswant Ahuja, pakar radiologi di hospital itu berkata, kemajuan perubatan di negara ini adalah kunci untuk mengenal pasti keadaan itu.

"Kami membuat beberapa ujian teknikal seperti imbas CT dan pengimejan resonans magnetik (MRI) yang membantu kami mengenal pasti anomali ini.

"Ketika imbasan, saya mendapati transposisi (alih tempat) organ. Hati dan pundi hempedu, biasanya terletak di sebelah kanan, dilihat di sebelah kiri perut. Jantung juga terletak di sebelah kanan," katanya.

Okoduwa dan suaminya Emmanuel terkejut apabila mengetahui diagnosis itu.

"Saya menjalani tiga pembedahan sebelum ini.

"Selama bertahun-tahun saya melawat beberapa hospital besar untuk penyakit batu karang. Saya terkejut tiada siapa yang dapat mengesan perkara ini sehingga kami datang ke sini," katanya.

Memandangkan prosedur perubatan direka untuk dijalankan ke atas pesakit yang mempunyai organ utama seperti jantung dan hati, di sebelah kiri, doktor terpaksa mengubah pendekatan mereka.

Dr Arindam Ghosh, perunding pakar bedah gastrousus dan ketua pembedahan di Hospital Medeor berkata, mengetahui isu itu sebelum masuk ke dewan bedah adalah penting.

"Ini adalah pembedahan yang mencabar kerana ia memerlukan orientasi semula mental yang lengkap untuk melaksanakan prosedur tanpa komplikasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 6:30 AM