Amir Jahari.
Amir Jahari.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Komposer dan penyanyi Amir Jahari, 32, terkejut dengan pemergian Nabil Zamanhuri, 37, yang disifatkannya seorang rakan yang sangat baik.

Amir atau nama sebenarnya Mohamad Amirullah Jahari berkata mereka sesama sendiri saling meminati dan ada mencipta lagu buatnya juga.

"Saya jarang-jaranglah senang berkawan, tapi almarhum antara yang saya senang nak duduk berborak. Baik sangat orangnya. Bila ingat balik pertama kali jumpa, kelakar bila dia kata dia minat saya, minat karya-karya saya, lama sudah minat baru jumpa.

"Saya dengan teruja telefon isteri beritahu sambil gelak-gelak sebab sebelum jumpa itu, memang saya ada beritahu saya teruja nak jumpa Nabil. Dia tak tahu, saya minat dia dari saya sekolah. Lagu dia saya hafal.

"Jaranglah saya hafal lagu Melayu. Tapi lagu dia antara yang saya hafal. Sempat 'jamming' masa kat Kamar Seni. Saya buatkan dia satu lagu Kenangan Lama untuk drama ljab Kabut," katanya.

Amir berkata meskipun jarang jumpa, tapi Nabil antara yang selalu menyokongnya dan karya-karyanya. Termasuklah juga menjadi penyokong terkuatnya sewaktu Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38) yang lalu.

"Memang terasa tiba-tiba dia tak ada. Kali terakhir dia WhatsApp saya cakap 'Tahniah juara. Sangat layak'. Sebelum itu dia memang teruja saya dapat AJL38.

"Dia kata kat saya, 'bagi aku, kau menang dah. Hasrat memang lagu terbaik tahun ini'," demikian kongsi Amir.

Amir turut merasa sebak teringatkan anak-anak Nabil masih kecil dan sebaya anak-anaknya.

Terdahulu, dunia hiburan dikejutkan dengan pemergian penyanyi berbakat itu yang meninggal dunia di kediamannya di Bukit Indah Ampang, akibat serangan jantung pagi ini.

Allahyarham bekerja di Unit Pembangunan Kandungan Bahasa Melayu Astro sejak lima tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 1:16 PM