BEBY Acha kini tampil dengan single pop berjudul Uda Dan Dara.
BEBY Acha kini tampil dengan single pop berjudul Uda Dan Dara.
Norhayati Nordin


DI kala nama Beby Acha disebut-sebut, ia mungkin tidak sehebat adiknya, Tajul. Begitu juga dengan kejayaan arwah abangnya, Allahyarham Achik Spin yang hingga kini terus dikenang dan diingati karya lagunya oleh peminat.

Menyedari hal ini, Beby Acha atau nama sebenarnya Nur Aishah Md Shari, 31, memaklumkan pembabitannya dalam karier nyanyian pun masih baharu beberapa tahun dan banyak pencapaian ingin diraihnya dulu.

Anak kesembilan daripada 10 beradik ini berkata, dia seorang yang pemalu dan atas sebab itu, dia memerlukan tempoh lama untuk membuat keputusan bergelar penyanyi. Katanya, apatah lagi Achik pun sudah pergi menghadap Ilahi.

"Jadi, sekarang ini masanya untuk saya beri fokus pada karier nyanyian dulu. Saya mahu tunaikan impian dua insan tersayang yang tidak sempat melihat saya sebagai penyanyi iaitu Allahyarham bapa dan Acik.

"Arwah ayah dan abang saya memang nak lihat saya menjadi penyanyi wanita yang berjaya dalam keluarga kami. Ini kerana, kami 10 beradik ada bakat menyanyi, namun kakak-kakak saya pula dah berkahwin dan sekali gus tak akan menyanyi," katanya.

Menurut Beby Acha, dia juga menyimpan hasrat untuk mempunyai album sendiri. Katanya, tidak lengkap seorang penyanyi itu tiada album dan berharap syarikat rakamannya bersedia merealisasikan impian berkenaan.

Kini hadir dengan single baharu, Uda Dan Dara yang pernah menjadi lagu OST drama Ada Apa Dengan Saka di TV9, Beby Acha berkata, dia teruja mendapat peluang menyanyikan lagu bergenre pop selepas tiga singlenya sebelum ini adalah dangdut.

"Saya dah merakamkan lima single solo, namun kebanyakannya bergenre dangdut dan satu lagu duet. Jadi, bila dapat lagu pop sudah semestinya ia satu cabaran besar. Tapi, alhamdulillah saya boleh menyanyikan pelbagai genre lagu

. "Harapan saya kini supaya single Uda Dan Dara ini diterima baik pendengar dan mesra radio. Apa pun, saya sudah memberi yang terbaik untuk karya lagu ini serta terus menyokong karier saya," katanya ingin berdikari membina nama.

Ditanya juga mengenai dirinya yang perlu menyanyi dan menari gelek serentak, Beby Acha berkata, apabila dia menyanyikan lagu dangdut mesti bergelek. Namun, tidaklah geleknya itu melampau sangat.

"Setakat ini gelek saya 'simple' saja, sedap mata memandang dan tidak begitu 'over'. Bagi saya, cukup sekadar untuk 'fun' kerana lagu dangdut itu iramanya cukup gembira dan manja. Jadi, saya menari gelek yang berpada-pada.

"Lagi pula, saya sebenarnya masih pemalu untuk menari sakan atas pentas. Mujur, setakat ini penonton yang menyaksikan persembahan saya okey saja dan tidak pernah dikecam. Bagaimanapun, saya sedia saja menerima

kritikan," katanya.

Ditanya juga mengenai status dirinya yang masih solo, Beby Acha berkata, kisah peribadinya agak rumit. Jelasnya, biar masa menentukan dan sekarang dia hanya mahu berkongsi mengenai perkembangan karier nyanyiannya yang disifatkan baharu bertapak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 6:55 AM