Nora Ariffin.
Nora Ariffin.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 51, menyifatkan bekas anak didiknya dalam program Mentor TV3 iaitu Allahyarham Nabil Zamanhuri sebagai anak yang baik dan seorang yang sangat tenang.

Nora berkata, beliau juga ada bertemu dengan Allahyarham Nabil pada Aidilfitri lalu ketika berkunjung ke kediamannya meraikan hari raya dan arwah kelihatan sihat-sihat saja.

"Dia (arwah Nabil) sangat 'cool guy', sangat budak baik-baiklah. Sebab kita pun sepupu, sebagai saudara-mara, sebagai anak protege, memang saya ajar dia dulu macam anak sendiri.

"Tapi, dia memang seorang anak yang sangat baik. Sampai sekarang, apabila kita berjumpa, ketika hari raya Aidilfitri lalu, semuanya okay, dia tak ada apa-apa sakit pun.

"Cuma apa yang saya tahu, pagi ini dia pengsan di rumah dan isterinya cuba buat CPR (bantuan pernafasan kecemasan), tapi tak berjaya dan arwah disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang.

"Saya amat terkejut jugalah apabila mendapat berita itu (meninggal dunia) dan dapatkan pengesahan daripada keluarga sebab tiba-tiba dan terlalu mengejut," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya juga kenangan ketika Mentor pada 2005 itu, Nora berkata terlalu banyak memori indah sebab memang beliau menjaga arwah Nabil bersungguh-sungguh kerana yakin dengan bakat nyanyian yang dimilikinya.

"Ramai juga yaang pernah cakap ketika itu, arwah Nabil tiada bakat. Tapi, saya tak pedulikannya sebab kita 'confident' (yakin) dengan bakat dia itu sehingga menang tempat kedua. Alhamdulillah, syukur.

"Selepas itu, dia pun buktikan dengan ada album sendiri, lagu sendiri dan dia berjayalah. Arwah juga sanggup sambung belajar. Cuma, memang kalau kami berjumpa, akan bersembang dan bercerita macam-macam," katanya.

Industri hiburan tempatan hari ini dikejutkan dengan berita duka apabila Nabil dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Ia disahkan oleh bapanya, Zamanhuri Kamarudin yang mengakui terkejut dan menyifatkan kehilangan besar dalam keluarga.

Allahyarham Nabil yang juga anak kedua daripada empat beradik, bekerja di Unit Pembangunan Kandungan Bahasa Melayu Astro sejak lima tahun lalu.

Dalam karier nyanyiannya Nabil pernah menghasilkan satu album, Dari Jauh pada 2006 dan antara single nyanyiannya seperti Hati Ini, Hey Emma, Dari Jauh, Beku, Selangkah (OST Aladdin) dan Kenangan Lama (OST drama Ijab Kabut).

Bagi karier lakonan pula, dia pernah membintangi drama Seribu Erti pada 2007, Kerana Kirana 2 (2008), Kamelia Katrina (2009) dan Ijab Kabut (2022), selain filem Aladdin dan Boboiboy Movie 2 sebagai Kapten Kaizo (2019).

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua anak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 2:18 PM