Allahyarham Nabil (kanan, berdiri) di sebelah bapanya, Zamanhuri bersama keluarga pada Aidilfitri lalu.
Allahyarham Nabil (kanan, berdiri) di sebelah bapanya, Zamanhuri bersama keluarga pada Aidilfitri lalu.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Penyanyi dan pelakon, Nabil Zamanhuri atau lebih dikenali, Nabil Mentor, 37, meninggal dunia di kediamannya di Bukit Indah Ampang, akibat serangan jantung pagi ini.

Berita sedih ini disahkan oleh bapanya, Zamanhuri Kamarudin, 64, yang mengakui terkejut dan menyifatkan kehilangan besar dalam keluarga dengan 'pemergian selamanya' anak tersayang yang juga rakan baiknya.

"Saya tak sangka, dia (arwah Nabil) yang pergi dulu daripada saya pada usia muda, 36 tahun. Kami baru berjumpa pada Ahad lalu ketika makan-makan di rumahnya dan dia okay saja. Cuma, nampak kurang sihat sebab dia ada batuk-batuk sedikit.

"Tapi, saya memang tak sangka arwah anak (Nabil) ada masalah jantung sebab dia tidak pernah ada sejarah sakit jantung pun sebelum ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zamanhuri, dia dihubungi menantunya pada jam 7 lebih pagi ini memaklumkan keadaan Nabil, termasuk ambulans dan pasukan perubatan juga sudah dihubungi.

"Namun, saya dimaklumkan arwah mendapat serangan jantung dan ketika melihat jenazahnya di rumah, memang kuku-kuku pun biru. Jadi, memang jantunglah," katanya.

Ditanya juga pengebumian arwah, Zamanhuri berkata, sekarang jenazah berada di Unit Forensik Hospital Ampang dan dia masih menunggu sama ada perlu dilalukan 'post-mortem' atau tidak.

Allahyarham Nabil kini berkeja di Unit Pembangunan Kandungan Bahasa Melayu Astro sejak lima tahun lalu.

Sebelum ini, dalam karier nyanyiannya arwah pernah menyertai program pencarian bakat, Mentor musim pertama di TV3 pada 2005 dan menyandang gelaran naib juara.

Arwah Nabil juga pernah menghasilkan satu album, Dari Jauh pada 2006 dan antara single nyanyiannya seperti Hati Ini, Hey Emma, Dari Jauh, Beku, Selangkah (OST Aladdin) dan Kenangan Lama (OST drama Ijab Kabut).

Dalam lakonan, dia pernah membintangi drama Seribu Erti pada 2007, Kerana Kirana 2 (2008), Kamelia Katrina (2009) dan Ijab Kabut (2022), selain filem Aladdin dan Boboiboy Movie 2 sebagai Kapten Kaizo (2019).

Nabil bertemu jodoh dengan wanita pilihan, Adelia Citra Hapsari pada 2014, mereka dikurniakan dua anak perempuan iaitu Aluna Calista, 7, dan Stara, kini berusia tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 12:01 PM