AYDA Jebat. FOTO Asyraf Hamzah
AYDA Jebat. FOTO Asyraf Hamzah
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat enggan mengambil tahu siapakah gerangan pelakon wanita meningkat naik yang memburukkan namanya kepada individu lain.

Ayda berkata, dia berharap pelakon terbabit bersikap profesional dan tampil bersemuka dengannya.

"Saya tak tahu dan tak nak ambil tahu. Bagi saya, kalau tak puas hati cakap depan-depan.

"Mungkin dia tiada niat nak bercerita, tapi bila bercakap dengan rakan-rakan artis menyebabkan perkara ini tersebar dan mengeruhkan lagi keadaan.

"Sebenarnya daripada dulu lagi saya kurang disenangi oleh segelintir artis dan tidak menjadi masalah untuk saya.

"Salah satu sebab saya tak ramai kawan artis pun sebab perkara sebegini. Bila depan suka, tapi di belakang dia buruk-burukan orang lain," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Malaysia Boleh Bersama Milo di Dataran Merdeka, di sini, semalam.

Menurut Ayda, kejadian seumpama itu kerap berlaku sebelum ini sehingga syarikat produksi pernah menyenarai hitam namanya.

"Saya hanya berkawan dengan artis bila berkaitan kerja saja. Tiada yang saya keluar lepak makan bersama-sama. Kalau ada pun betul-betul ikhlas dan baik.

"Saya pernah dihubungi penerbit dan pengarah yang memaklumkan nama saya disenarai hitam tanpa usul periksa.

"Bila saya dapat tahu rupanya ada pelakon yang burukkan nama saya sehingga saya berjumpa dengan pelakon itu. Perkara sebegini bukan sekali dua berlaku," katanya.

Terdahulu menerusi program Melodi di TV3, Ayda menjawab pertanyaan wartawan berhubung namanya diburukkan seorang artis wanita meningkat naik yang mempersoalkan kejayaannya dalam industri seni.

Menerusi video temu bual Melodi, Ayda menyatakan bahawa artis terbabit tidak perlu untuk menjatuhkan dan mempunyai sifat dengki dengan kejayaan orang lain malah patut dijadikan sebagai inspirasi.

Dalam perkembangan lain, Ayda baru saja melancarkan single baharu berjudul Kitalah Juara sempena sambutan Hari Malaysia semalam. Lagu Kitalah Juara dinyanyikan oleh empat penyanyi berbilang kaum iaitu Ayda, Amir Masdi, Rabbit Mac dan Jestinna Kuan.

"Lagu ini adalah hasil ciptaan saya. Diharapkan lagu ini dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat untuk sama-sama menuju pencapaian tertinggi sebagai sebuah negara harmoni," katanya lagu terbabit dibawakan oleh jenama minuman terkenal, Milo.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 2:20 PM