Pelakon, Nor Azifah
Pelakon, Nor Azifah
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon drama Istidraj dan Tujuh Warna Pelangi, Nor Azifah Zainon Abidin, 60, yang menghidap kanser payu dara tahap tiga sebelum ini akan menjalani rawatan kemoterapi tambahan sebanyak lima pusingan lagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Nor Azifah berkata, terdahulu dia sudah pun menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam pusingan dan diikuti pembedahan membuang sel kanser di payudara yang dilakukan pada Mac lalu.

"Sekarang, keadaan kesihatan saya baik-baik saja dan stabil, namun belum beransur pulih sepenuhnya. Saya masih perlu membuat rawatan kemoterapi tambahan sebanyak lima pusingan lagi dan esok adalah rawatan pusingan pertama.

"Mohon didoakan kesihatan saya okay untuk menjalaninya (kemoterapi). Sebelum ini dah buat kemoterapi, enam kali dan doktor tambah selepas pembedahan dua bulan lalu. Habis saja lima pusingan tambahan ini, saya dikehendaki melakukan rawatan radioterapi pula," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nor Azifah, kos rawatan yang diperlukannya sebelum ini kira-kira RM35,000, nampaknya bertambah dan dia sangat bersyukur menerima sumbangan kewangan daripada Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

"Saya amat berterima kasih kepada PM di atas keprihatinan beliau menghulurkan sumbangan bagi membantu saya menerusi Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi yang sudi berkunjung ke rumah saya.

"Alhamdulillah, sumbangan dihulurkan itu sangat membantu meringankan bebanan kewangan saya untuk kos rawatan penyakit kanser payudara dihadapi ini. Mohon juga doa ramai agar saya sihat semula.

"Saya kalau boleh nak bekerja dan rindu 'shooting' sebab ingin mempunyai sumber kewangan sendiri macam dulu. Tapi, sejak sakit saya sudah lebih setahun tidak bekerja kerana perlu rehat yang cukup selepas rawatan kemoterapi," katanya.

Pada 26 Oktober tahun lalu, Harian Metro melaporkan Nor Azifah memerlukan bantuan kewangan kira-kira RM35,000 untuk menampung kos rawatannya yang disahkan menghidap kanser payu dara tahap tiga sejak Julai, tahun lalu.

Mereka yang ingin membantu Nor Azifah meringankan bebanan kewangannya boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 114013153925 atas nama Nor Azifah Zainon Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 2:49 PM