Nor Azifah Zainon Abidin
Nor Azifah Zainon Abidin
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon Nor Azifah Zainon Abidin, 60, yang menghidap kanser payu dara tahap tiga, sepatutnya menjalani pembedahan 7 Mac lalu selepas selesai enam kali kemoterapi.

Bagaimanapun pelakon drama Istidraj dan Tujuh Warna Pelangi ini berkata, disebabkan terdapat beberapa perkara, doktor terpaksa menunda pembedahan sehingga 23 Mac nanti.

"Ikutkan kos keseluruhan yang diperlukan agak mahal sekitar RM35,000. Yang paling mahal ubat untuk kemoterapi kerana setiap kali buat kena bayar RM1,200.

"Tapi untuk yang keempat, saya kena dua dos berjumlah RM3,000, manakala kos pembedahan RM5,000. Selepas itu proses radioterapi pula selama 15 kali dengan kos RM4,350.

"Saya masih lagi berusaha kumpul dana. Apa pun yang berlaku, proses untuk sembuh kena jalan juga tak boleh bertangguh. Wang memang tak cukup tapi benda tak boleh simpan," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia bimbang sekiranya bertangguh ubat sudah tidak berkesan dan sel kanser naik semula.

"Saya akan terus ikhtiar cari dana. Sebelum ini ada juga orang perseorangan bantu untuk rawatan awal. Cuma kos untuk proses pembedahan dan radioterapi masih kena cari.

"Ia sekitar RM20,000 juga. Saya masuk karnival jualan di pelbagai lokasi untuk cari wang. Saya jual kuih kapit, serunding daging dan ayam serta beberapa produk lain. Saya tak terlalu mengharap kerana tahu situasi orang yang kurang berduit sekarang.

"Apapun syukur ada ramai yang sanggup bantu walaupun tak kenal saya. Apabila Harian Metro keluarkan cerita saya, ada yang bantu walau RM1 dan RM5. Yang penting niat mereka membantu," katanya.

Nor Azifah bersama 49 artis lain akan terbabit dalam Bazar Ria Raya Bujang Lapok Street anjuran Seniman di pusat beli belah KL Gateway pada 22 Mac sehingga 7 April depan.

"Selepas kemoterapi keenam sebelum ini, saya rasa nak duduk tanpa buat apa, tapi kalau duduk lagi rasa lemah. Malah saya masuk hospital seminggu juga.

"Namun saya berusaha buat produk niaga dan letakkan di booth Seniman. Bagi saya, sakit adalah ujian hidup dan saya antara yang Allah pilih. Saya reda apa yang berlaku," katanya.

Bagi membantu meringan bebanan kewangannya, sumbangan boleh dibuat ke akaun Maybank 114013153925 atas nama Nor Azifah Zainon Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 12:40 PM