Saixse
Saixse
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Kehidupan penyanyi rap, Saixse yang mencipta nama menerusi lagu Malampagi tetap berjalan seperti biasa walaupun sudah mempunyai peminat.

Saixse berkata, dia terbuka menerima sebarang komen tetapi mengambil pendekatan untuk tidak melayan mesej yang pelik di laman sosial.

"Hidup saya macam biasa saja. Sebagai penyanyi rap, saya akan terus bekerja. Masuk studio, buat lagu, rakam atau ikuti jadual persembahan.

"Tidak dinafikan, saya ada juga terima mesej-mesej pelik di media sosial, namun saya tidak melayannya. Jika rasakan ada sesuatu tidak kena, saya akan abaikan terus," katanya yang sedia dikritik.

Saixse berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran lagu terbarunya hasil kerjasama dengan penyanyi rap, Kidd Santhe dan personaliti media sosial terkenal Indonesia, Atta Halilintar berjudul Mantap Cuy.

Dalam pada itu, Saixse turut memaklumkan dia sentiasa akan berjaga-jaga apabila menerima hadiah berupa makanan daripada peminat.

"Awal dahulu mungkin belum biasa, tetapi sekarang saya seronok bertemu peminat. Cuma kalau terima hadiah makanan saya akan lebih berhati-hati. Itu pendirian saya dan kita sendiri kena tahu kesannya," katanya.

Bercerita mengenai kerjasama bersama Atta, Saixse menganggap ia sebagai peluang terbaik selain dia dan Kidd berbesar hati apabila suami kepada Aurel Hermansyah itu sudi bekerjasama tanpa membabitkan kos yang besar.

"Atta seorang yang amat merendah diri. Seronok dapat bekerjasama dengannya. Pelaburan untuk bekerjasama dengan Atta adalah 'kosong'.

"Dalam menghasilkan sesebuah lagu bagi saya nilai itu tidak penting. Apa yang menjadi keutamaan adalah minat yang mendalam," katanya.

Mantap Cuy adalah hasil ciptaan bersama Kidd dan Saixse sendiri, manakala Atta pula turut menulis sebahagian lirik lagu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 4:33 PM