HM Digital

Bukan main geram teman Cik Pang yang juga peminat tegar kumpulan nasyid popular UNIC dengan isu terbaru yang sedang melanda kumpulan itu.

Dakwa teman Cik Pang, UNIC berkecil hati dengan penyanyi rap, Caprice yang juga rakan duet mereka untuk single terbaru berjudul Sedar.

Hal ini dikongsikan teman Cik Pang sebab dia sering mengikuti perkembangan terbaru UNIC sejak di awal kemunculan pada 2000.

Selepas diselidik, teman Cik Pang dapat tahu, penyanyi rap itu didakwa enggan memberi kerjasama yang baik setiap kali diminta turun untuk mempromosi single itu di stesen radio, TV atau sesi fotografi bersama media.

Padahal, pada peringkat awal, penyanyi itu menyatakan persetujuan lisan tetapi sering mengubah saat akhir apabila tiba hari menjayakan sesi promosi.

Macam-macam alasan sehinggakan dia pernah dikatakan menghampakan peminat lagu baru itu yang setia menunggu kemunculannya bersama UNIC.

Teman Cik Pang berkata penyanyi itu tidak rasa bersalah melanggar janji walaupun di media sosial dia sering berkongsi perihal motivasi dan sebagainya dengan peminat. Bak kata orang tua, cakap tak serupa bikin!

Bagi Cik Pang, jika benarlah apa yang berlaku, sikap ditunjukkan Caprice memang tidak profesional. Dia sepatutnya sama-sama membantu mempromosikan lagu itu.

Apatah lagi, dia mempunyai ribuan pengikut remaja dan sewajarnya menunjukkan contoh baik kepada mereka.

Harap-harap dia tidak lupa pepatah Melayu, lembu berpegang pada tali, manusia berpegang pada janji. Jangan disebabkan sikap tak ambil peduli, orang lain hilang rasa hormat terhadapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 10:20 AM