Laporan sebelum ini. FOTO Fail HM
Laporan sebelum ini. FOTO Fail HM
Amirul Haswendy Ashari.


"JANGAN salah faham, komen saya bukan kepada Aiman Tino saja tetapi secara umum.” Itulah komen komposer dan anggota kumpualn VE, Damian Mikhail Seet, 39, mengenai kecamannya melalui status di laman sosial Facebooknya, Ahad lalu.

Penyanyi rap popular awal 2000 itu berkata, dia tiada masalah dengan Aiman cuma terpanggil memberi penjelasan kerana bimbang dengan penerimaan peminat terhadap lagu duet Aiman bersama Fara Hezel, Terasa Cinta.

“Peminat Aiman percaya Terasa Cinta lagu rap tetapi hakikatnya langsung tidak begitu. Saya pasti Aiman budak baik dan mungkin mahu mencuba sesuatu yang baru atau akur dengan kehendak pengurusan.

“Cuma nasihat saya kalau nak buat, biar betul-betul dan terbaik. Carilah produser hip hop berbakat untuk menghasilkan lagu bermutu.

“Mana tahu satu hari nanti kita dengar Aiman Tino bekerjasama dengan Joe Filzzow, Altimet atau Malique," katanya.

Kata Damian, peminat Aiman keliru kerana kurang ilmu dalam muzik dan budaya lagu hip hop. “Ia adalah mengenai hormat, penghargaan kepada dunia jalanan dan menjadi asli. Muzik hip hop tempatan bukan dibina dalam sehari sebaliknya mempunyai sejarah yang kaya dan menarik.

“Bagi penyanyi yang mahu buat irama rap, fahami dan hormati budaya serta cara komuniti hiphop. Kenal dengan mereka yang bergiat dengan irama itu dan jangan segan bertanya.

“Aiman atau sesiapa saja yang mahu buat rap, perkasakan diri dengan teknik dan ilmu hip hop terlebih dulu,” katanya.

Dalam statusnya, Damian mengatakan penyanyi hip hop sedia ada, Malique, Joe Flitzow dan Altimet tidak boleh lagi cari makan.

Langkah beberapa penyanyi merakamkan lagu rap dilihatnya satu pencemaran dan penghinaan terhadap industri muzik hip-hop.

Katanya, kalau mereka buat persembahan di depannya, dia akan ‘boo’. Damian juga menunggu Aiman buat lagu Death Metal selepas ini.

Berita berkaitan:

'Aiman tak kisah!'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 7:16 PM