PERSEMBAHAN mantap Dayang ketika malam kemuncak AJL29 baru-baru ini.
PERSEMBAHAN mantap Dayang ketika malam kemuncak AJL29 baru-baru ini.

Kehebatan vokalnya ketika menyampaikan lagu Di Pintu Syurga pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) di Stadium Putra Bukit Jalil baru-baru ini masih diperkatakan peminat hingga hari ini.

Bukan saja memukau barisan juri dan penonton, ketua juri Azmeer sendiri mengiktiraf vokal penyanyi popular Dayang Nurfaizah Awang Dowty sebagai 'pitch perfect'.

Terbukti penyanyi kelahiran Sarawak ini sukar digugat dan terus bertahan selepas 15 tahun berkecimpung dalam industri muzik tanah air.

Sebelum ini, Dayang pernah berkolaborasi dengan nama besar seperti Datuk Ramli Sarip, Anuar Zain dan penyanyi popular Indonesia, Marcell.

Dayang juga baru saja meraikan ulang tahun ke-15 pembabitannya dalam industri muzik menerusi Konsert Dayang Nurfaizah A Celebration of 15 Years In music di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) tahun lalu.

Ikuti temu bual Wartawan RAP, Ramlah Zainal ([email protected]) bersama Dayang berkongsi visi serta perancangannya untuk terus memartabatkan industri muzik tanah air.

RAP: Selepas Anugerah Industri Muzik 2013, anda mengungguli Vokal Terbaik pada AJL29. Apa rahsia anda?

DAYANG: Alhamdulillah, sebenarnya saya tiada sebarang rahsia dalam hal ini. Sebagai penyanyi, saya menyampaikan lagu dengan seikhlasnya. Saya sangat bersyukur kerana kedua acara berprestij iaitu AIM dan AJL dari persembahan yang berlangsung secara 'live'. Ia bermaksud persembahan saya sampai dan dapat dihayati semua peminat.

RAP: Kehebatan vokal anda memukau penonton dan juri pada malam AJL29 dan diiktiraf sebagai 'pitch perfect'. Apa komen anda?

DAYANG: Syukur alhamdulilah, saya sangat berpuas hati dengan pengiktirafan yang diberikan. Terima kasih kepada barisan juri AJL29. Semua artis yang bertanding pada AJL29 berbakat dan memiliki kehebatan tersendiri.

Saya juga terus bertahan selepas 15 tahun dalam industri muzik kerana sokongan peminat setia dan pihak media. Saya ingin terus pandang ke depan dan percaya dengan bakat sedia ada.

Saya akan menghasilkan lagu berjudul Hakikat Cinta yang ditujukan khas buat media yang tidak jemu membuat liputan dan peminat yang memberi sokongan selama ini.

RAP: Adakah anda merancang untuk kembali buat album berkonsep pop Melayu khusus untuk peminat?

DAYANG: Saya akan menghasilkan single dan juga album penuh. Buat masa ini, saya masih dalam proses mencari lagu lagi.

Saya akan buat album yang memenuhi cita rasa peminat. Contohnya lagu Di Pintu Syurga dihasilkan untuk mengubat kerinduan peminat pada lagu Seandainya Masih Ada Cinta.

RAP: Mungkin masih ada impian Dayang yang masih belum kesampaian dalam bidang seni?

DAYANG: Antara impian saya dalam karier nyanyian ialah mencuba menulis lagu pula selepas ini.

RAP: Selepas menang pada malam AJL29, nama anda kembali meniti di bibir peminat. Adakah kemenangan itu membuatkan anda sudah mula 'demand' dari segi bayaran untuk undangan persembahan makan malam korporat dan sebagainya?

DAYANG: Tidak timbul soal 'demand' kerana semuanya masih lagi sama seperti biasa.

RAP: Pernah terfikir untuk menukar imej atau merancang membuat transformasi baru pula selepas ini?

DAYANG: Saya sudah selesa dengan imej sekarang. Bagi saya tidak perlu buat transformasi lagi. Pada masa sama, saya berasa bertuah kerana dikelilingi mereka yang sentiasa beri yang terbaik untuk imej seperti pengurus, juru solek artis iaitu Khir Khalid dan Rizalman.

RAP:Pada usia mencecah 34 tahun, anda nampaknya masih selesa dengan status solo. Mungkin anda bimbang populariti akan merudum sekiranya berumah tangga?

DAYANG:Pada pandangan saya, soal kahwin tidak akan menjejaskan populariti seseorang artis. Namun, buat masa ini, saya masih belum bertemu calon sesuai untuk berumah tangga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 5:02 AM