Riezman.
Riezman.
Syafil Syazwan Jefri

 

Bukit Jalil: "Apa yang Azlee (Senario) katakan dan tolak tawaran, memang patut." 

Demikian kata pelakon dan penerbit, Riezman Khuzaimi ketika ditanya mengenai luahan pelawak senior, Azlee Senario mengenai bayaran yang tidak berpatutan. 

Riezman berkata, dia pernah ditawarkan bayaran RM150 sehari dan menurutnya, itu adalah harga yang tidak masuk akal. 

"Kalau nak kata Senario sebagai pelakon, penyanyi dan pelawak. Kita kena hormat. Azlee itu RM500, kira okay. 

"Saya RM150. Saya ada bukti. Kita tak tahu kerja berapa jam sebab ditawarkan sehari RM150, pengsanlah," katanya kepada Harian Metro. 

Kerana itulah dia lebih memilih untuk hanya berlakon satu atau dua karya filem dan drama dalam setahun kerana tahu, syarikat produksi 'tidak mampu' untuk membayarnya. 

"Dalam setahun, saya akan berlakon satu atau dua filem, begitu juga dengan drama. Dalam 'live' di TikTok, orang selalu bertanya, kenapa lama tak nampak di TV. Saya cakap terus terang, sebab mereka tak mampu bayar saya. 

"Tak mampu bayar bukan kerana mahal, tapi pasal mereka bayar (jumlahnya) saya rasa satu penghinaan. 

"Jadi, saya rasa lebih baik saya pergi jual burger, satu malam boleh dapat RM300 hingga RM400 daripada berlakon satu hari RM150. Itu melampau," katanya. 

Isu bayaran tidak berpatutan ini jugalah yang menyebabkan ramai anak seni senior terpaksa menolak tawaran sedangkan di luar negara, semakin tinggi pengalaman seseorang itu, semakin tinggi bayarannya. 

"Saya sendiri pun pernah berlakon di Indonesia dan Hong Kong. Sebenarnya, semakin senior, semakin tinggi bayaran. Bukan lagi catu. 

"Sama juga kenapa Abang Jalil Hamid tak nak berlakon, sebab tawaran begitulah. Datuk Fauziah Nawi pun begitu. 

"Bukan kerana status atau apa, tapi pengalaman. Lagi senior seseorang itu, kena bayar setaraf dengan pengalamannya," katanya. 

Terbaharu, Riezman kini bergelar duta untuk agensi Kamisempoi yang membantu hos siaran langsung TikTok di Malaysia bagi menguruskan kerjaya mereka sekali gus menjana pendapatan di platform digital itu. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 1:04 PM