Achey Bocey
Achey Bocey
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelawak, Achey Bocey lebih suka memasarkan dirinya di platform media sosial berbanding muncul di TV semata-mata.

Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah, 37, berkata, dia memilih menggunakan apa saja platform termasuk TikTok kerana ia lebih 'outstanding'.

"Kita gunakan platform itu sebaiknya. Keberadaan kita dalam platform itu, macam mana kita nak gunakannya untuk menjana hasil sama ada perniagaan, ulasan atau pun permintaan-permintaan yang lain di dalam podcast yang membolehkan kita dapat bayaran.

"Bila populariti kita nampak di platform yang kuat, secara tak langsung kita akan dapat tawaran mungkin penggambaran dan pelbagai program lain.

"Pada saya ia bergantung kepada diri kita juga. Macam mana nak menjual. Kita macam ibarat jual diri. Dalam istilah yang baik, kita ibarat menjual bakat kita, menjual apa yang kita ada, di platform mana yang ramai orang tengok," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kita diberikan pilihan iaitu TikTok dan ia wajar digunakan untuk menjana kewangan.

"Ada juga yang nampak kelebihan Instagram, jadi pergilah ke situ. Barulah kita akan ditawarkan untuk benda-benda yang lain yang boleh menjana pendapatan kerana rezeki kita sepenuhnya dalam bidang ini.

"Untuk program-program lawak kalau tiada lagi di stesen TV, jujurnya kita jangan bergantung pada satu-satu tempat. Kalau kita tanya kanak-kanak, mereka kenal saya menerusi platform bukan menerusi TV.

"Jadi, dah berapa jauh mereka dengan TV? Kalau tanya kenal saya dari mana, jawab mereka ialah TikTok. Tanya lagi kenal tak 'uncle' ini dari program Maharaja Lawak Mega atau pelawak? Jawabnya tak," katanya.

Achey berkata, walaupun kanak-kanak 10 tahun kenal dia di TikTok dan sebagainya, untuk 10 tahun akan datang dia masih relevan dalam industri hiburan.

"Kitalah yang mencorakkan diri kita sebenarnya," katanya.

Terdahulu semasa kegemilangan program Maharaja Lawak Mega, trio Bocey yang dianggotai Achey, Allahyarham Abam dan Fad antara yang mempunyai ramai peminat dan pernah menjuarai program terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 3:31 PM